Thursday, March 14, 2013

Perangi rasuah tanggungjawab bersama

Posted by Smookiekins On 3/14/2013 02:17:00 PM

Menurut kajian yang dijalankan Marie Channe bertajuk Anti Corruption Resource Center, di kebanyakan negara, rasuah adalah punca kenapa kegiatan jenayah gagal disekat dan terus berleluasa.

Perbuatan rasuah bukan saja menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan etika perkhidmatan awam, malah mengundang risiko tinggi kepada keselamatan negara. Rasuah tidak harus dibiar berleluasa dan ia perlu dibanteras habis-habisan. 

Rasuah harus diperangi semua lapisan rakyat. Sokongan rakyat kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memberi maklumat dan tidak memberi rasuah sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita itu. Kepada SPRM, teruskan kerja yang baik untuk bangsa dan negara, walaupun terpaksa mengharungi liku yang penuh dengan onak duri ini dan jarang sekali mendapat pujian. 

Penjawat awam perlu mempertingkatkan sifat integriti dalam diri masing-masing. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah. Sudah menjadi lumrah seseorang yang mempunyai kuasa akan menyalahgunakannya jika tidak diawasi. 

Oleh itu, jika tersilap langkah dan tidak diawasi setiap masa, berkemungkinan ia boleh memberikan kesan tidak baik kepada organisasi. Rasuah yang berleluasa adalah cerminan mutu pentadbiran negara. Untuk berjaya mengurangkan rasuah, kerajaan perlu memastikan SPRM mempunyai bajet yang munasabah. 

Kajian menunjukkan jika sesebuah negara itu bersungguh-sungguh memerangi rasuah, ia memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada belanjawan. Selain itu, SPRM perlu mempunyai pegawai penyiasat yang mencukupi, terlatih dan berintegriti. Bagi memantapkan semangat juang pegawai SPRM, kerajaan perlu menitikberatkan kebajikan dan integriti pegawainya. 

Selain tanggungjawab penjawat awam, masyarakat juga perlu memberi sokongan padu kepada sebarang tindakan yang diambil SPRM bagi menurunkan tahap rasuah. Ajukan kritikan yang membina dan rasional jika badan itu dilihat membuat kesilapan. Jangan sampai kritikan yang dilemparkan menjejaskan prestasi dan mematahkan semangat pegawai SPRM untuk bekerja keras. 

Kesan paling besar gejala rasuah ialah pentadbiran sesebuah negara boleh menjadi lemah, kucar-kacir dan huru-hara. Kemerosotan ekonomi pula akan menghalang penyertaan pelabur tempatan dan menyekat kemasukan pelabur asing selain kehilangan pendapatan daripada cukai pelaburan. 

Di negara kita, komitmen SPRM untuk memerangi rasuah harus dipuji. Bagaimanapun, usaha penambahbaikan perlu diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan usaha memerangi rasuah berjaya.

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mencadangkan agar Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ditambah baik satu seksyen baru diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan rasuah.

Sudah tentu setiap undang-undang yang diperkenalkan ada sedikit sebanyak kelemahan dan yang perlu dipinda untuk memperkemaskannya mengikut keadaan semasa. Sudah lazimnya, orang yang perasuah selalunya mempunyai fikiran kreatif untuk mendapatkan projek dan akan mencari jalan untuk mengatasi sebarang kelemahan undang-undang atau peraturan sedia ada.

Mengikut kajian Association of Certified Fraud Examiners, dalam masa kurang daripada 15 bulan sesuatu undang undang atau peraturan berjaya diatasi atau dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ada tiga cadangan yang sudah dikemukakan Pengerusi JKMR, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, iaitu menambah baik Seksyen 23 dan Seksyen 26, manakala satu seksyen ditambah bagi memperkemaskan yang Akta SPRM 2009 yang sedia ada.


Ditulis oleh Smookiekins (Admin)



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...