Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah
pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang
diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.
“Langkah
itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya pada
Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan ‘Transformasi
Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020’, di sini.
Turut
hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta
menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata semua inisiatif yang
diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan
dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).
Perdana
Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji
maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan
kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
“Ini bagi membolehkan
seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah
pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada
peraturan yang berkuatkuasa.
“Semoga inisiatif itu dimanfaatkan
penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi
sumbangan kepada negara,” katanya.
Najib berkata sekiranya tiada
pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam
sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut
bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada
pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi
syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.
Perdana
Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang
berjumlah hampir 50, 000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013
bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh
dilaksanakan. Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menambah baik
pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dengan
memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada
15 tahun kepada 13 tahun.
“Ia akan memanfaatkan lebih 17,000
penjawat awam yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam
yang menjadi asas pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh
khidmat itu akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak
berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan secara
prinsipnya turut bersetuju bagi melunaskan kaedah pelaksanaan kenaikan
pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan
Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
“Kaedah
pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas
untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum
dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) juga telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan
atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim
perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan
tugas sewajarnya.
“Skim perkhidmatan dalam kelompok gred jawatan
dan gred gaji satu hingga sepuluh akan dinaik taraf ke gred jawatan atau
gred gaji yang setaraf dengan kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah
(PMR),” katanya.
Skim perkhidmatan yang terlibat antaranya ialah Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3.
“Dengan
penambahbaikan skim perkhidmatan yang dijangka selesai akhir tahun ini,
daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima
manfaat dari segi laluan kerjaya lebih baik dan peningkatan gred gaji,”
katanya.
Sementara itu, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah
baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan
semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan, melibatkan
antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim
perkhidmatan Pegawai atau Penolong pegawai dan Pembantu Galian serta
skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
Sumber: New Sabah Times
berita gembira kepada penjawat awam
ReplyDelete