Datuk Rahman Dahlan |
Artikel daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan berkenaan dengan kejadian di Lahad Datu dan respon negatif daripada pihak pembangkang.
Kejadian tembak menembak di antara pasukan keselamatan kita dan penceroboh asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu memberi kita ingatan bahawa mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara ada kalanya memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan ini bukan saja dituntut dari anggota-anggota keselamatan kita (yang sememangnya pun bersedia untuk mati demi negara), tetapi juga dari setiap rakyat Malaysia.
Pengorbanan yang dituntut dari orang awam ini bukannya pengorbanan nyawa. Apa yang dituntut ialah mengorbankan sikap suka menuduh dan menyalahkan pihak lain, memperkecilkan kemampuan pihak keselamatan, mengesyaki dan memandang sinis setiap tindakan pihak keselamatan dan menyebarkan berita palsu.
Malangnya ini tidak berlaku. Sepanjang insiden ini berlaku, saya amati ramai di antara kita yang menggunakan laman web, Facebook, Twitter, SMS dan blog untuk memberi pandangan yang tidak berasaskan fakta yang sahih. Tanpa mereka sedari, sebenarnya mereka menyumbang kepada kekeliruan dan peningkatan rasa gelisah dan panik di kalangan rakyat.
Kita juga melihat pemimpin-pemimpin pembangkang menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka.
Dalam masa pihak keselamatan memerlukan sokongan dan doa rakyat Malaysia dalam menangani insiden pencerobohan ini, pemimpin-pemimpin pembangkang seolah-olah berpesta dengan kritikan dan tuduhan liar mereka. Mereka menghina pasukan keselamatan kita, menuduh kononnya insiden ini diatur oleh pihak Barisan Nasional. Rupa-rupanya, kepentingan politik yang sempit masih menguasai tindakan mereka walaupun keadaan semasa menuntut untuk mereka mengorbankan tabiat buruk ini.
Saya teringat dua insiden sebelum ini yang membabitkan dua percubaan untuk menjayakan tuntutan pihak luar terhadap Sabah. Insiden pertama ialah rancangan untuk menawan Sabah oleh sekumpulan militant rakyat Filipina yang dilatih di Pulau Carregidor, Filipina pada tahun 1967 dan yang keduanya ialah insiden deklarasi Dewan Perwakilan Filipina bahawa Sabah adalah hak negara Filipina pada tahun 1968.
Apabila perkara ini diketahui oleh Malaysia, kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi pembangkang pada waktu itu membuat keputusan untuk mengenepikan kepentingan politik dan berdiri di belakang dan menyokong kerajaan dan pasukan keselamatan dalam apa jua keputusan yang diambil untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Mereka mahu menunjukkan kepada pihak yang menceroboh dan anasir-anasir luar negara yang menjadi dalang pencerobohan tersebut, bahawa rakyat Malaysia bersatu suara dan hati menentang mereka. Nama-nama besar pemimpin pembangkang seperti Dr Tan Chee Khoon (Ketua Pembangkang), D.R. Seenivasagam, Ong Kee Hui, Dato Mohd Asri Hj Muda dan C.V. Devan Nair memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan pasukan keselamatan.
Sedihnya, pemimpin-pemimpin pembangkang masa kini tidak sanggup berkorban seperti pemimpin-pemimpin pembangkang terdahulu.
Sekarang mereka lebih berminat berpolitik sepanjang masa. Kalau pada tahun 60an mereka meletakkan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan keselamatan dalam menangani ancaman luar, sekarang ini pemimpin-pemimpin pembangkang dan penyokong-penyokong tegar mereka sudah tidak ada pertimbangan dan sanggup mengkritik, memperkecil, menghina dan memberi gambaran seolah-olah pasukan keselamatan kita tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Malah ada yang sanggup menuduh insiden tembak menembak itu hanyalah sandiwara pihak Barisan Nasional.
Saya berharap agar pihak pembangkang hentikan usaha untuk memperlekehkan pihak berkuasa kita. Tuduhan kepada pihak polis kononnya mereka tidak serius menangani isu ini adalah tuduhan yang melulu.
Saya maklum ramai orang yang keliru kerana maklumat yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan mengenai isu ini agak terhad. Tetapi pihak polis mempunyai alasannya tersendiri samada mengambil strategi memberi masa kepada penceroboh untuk menyelesaikan isu ini melalui rundingan atau menyerang kedudukan penceroboh di kampung Tanduo. Mereka juga tahu banyak dimensi lain mengenai isu ini yang tidak dapat dihebahkan kepada orang ramai termasuk rundingan dan strategi mereka. Sudah tentu semua ini tidak mungkin dapat dihebahkan secara sewenang-wenangnya dalam Twitter dan Facebook.
Pada saya, sejarah kecemerlangan pihak polis selama lebih 200 tahun menangani ancaman kepada negara dari zaman penjajahan kepada ancaman komunis, konfrontasi Indonesia, tuntutan Filipina, rusuhan kaum dan extremis agama, memberikan saya keselesaan untuk membiarkan mereka menangani isu ini dengan cara mereka.
Hakikatnya apabila kita membicarakan soal keselamatan negara, pihak polislah yang mempunyai kelayakan untuk menimbangnya dan bukannya Tian Chua ataupun Lim Kit Siang.
Nota: Ini link perbahasan parlimen pada 15hb Oktober 1968 di mana pemimpin-pemimpin pembangkang menyokong kerajaan dalam tuntutan Filipina terhadap Sabah. http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-15101968.pdf dan http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-16101968.pdf
Nota: Ini link perbahasan parlimen pada 15hb Oktober 1968 di mana pemimpin-pemimpin pembangkang menyokong kerajaan dalam tuntutan Filipina terhadap Sabah. http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-15101968.pdf dan http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-16101968.pdf
Kenyataan yang begitu pedas ditujukan kepada Pembangkang.
ReplyDeleteMana sudah pembangkang yang selalu menyuarakan masalah rakyat sebelum ini.
ReplyDeleteKalau beginilah pembangkang sekarang ini rasanya memang tepatlah keputusan rakyat untuk meneruskan BN sebagai kerajaan pilihan.
ReplyDeletePemangkang hanya tahu cakap sini sana tapi tidak tahu pun cuba untuk menyakinkan rakyat yang mana pihak berkuasa mampu menangani masalah ini.
ReplyDeleteKita jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang cuba diberikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam kes pencerobohan ini.
ReplyDelete