Kerajaan mengumumkan kenaikan gred gaji baru bagi pegawai dan anggota
tentera serta polis untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain
dalam Sistem Saraan Baru (SSB).
Pelarasan yang dinamakan Sistem
Saraan Transformatif (SST) itu akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia
(SSM) yang diguna pakai sebelum ini, diumumkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13
(MAPPA XIII), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini,
semalam.
Beliau berkata, pelarasan gaji bagi Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkuatkuasa 1
Januari lalu bakal memanfaatkan 233,192 anggota pasukan keselamatan di
seluruh negara, iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.
Pangkat dalam
perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am
selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas khas, struktur pangkat dan kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM serta PDRM, katanya.
Hadir
sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua
Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Farida
Mohd Ali.
Pendek masa naik pangkat
Dalam pada itu, Najib
berkata, kerajaan setuju menambahbaik pelaksanaan urusan kenaikan
pangkat kumpulan pelaksana kakitangan awam dengan memendekkan tempoh
kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13
tahun.
Katanya, pelaksanaan penambahbaikan itu berasaskan kecemerlangan yang akan memanfaatkan lebih 17,000 penjawat awam yang layak.
Di
samping itu, kerajaan secara prinsipnya bersetuju meluaskan kaedah
pelaksanaan kenaikan pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan
pakar bidang dan kenaikan pangkat laluan kemahiran tinggi bagi menambah
baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang.
Kaedah
pelaksanaannya, termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas
untuk ketiga-tiga laluan baru itu akan diperincikan sebelum
dilaksanakan, katanya.
Kenaikan gaji tahunan
Najib turut
menyampaikan berita gembira kepada 182,434 penjawat awam yang berada
pada tangga gaji maksimum dan tidak menikmati kenaikan gaji tahunan
dengan mengumumkan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak tiga kenaikan,
berkuat kuasa 1 Januari 2013 untuk semua struktur gaji maksimum dalam
Jadual Gaji Minimum-Maksimum.
Selain itu, semua penjawat awam
menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT yang dipercepatkan
pada 1 Julai 2013 dengan setiap penjawat awam mendapat kenaikan antara
RM80 hingga RM320 mengikut gred gaji masing-masing, membabitkan
peruntukan RM1.5 bilion.
Sekiranya tiada pelarasan gaji atau
semakan dibuat, kerajaan setuju pergerakan gaji khas sebanyak tiga
peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada pada gaji
maksimum, katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga
bersetuju menyambung perkhidmatan hampir 50,000 kakitangan awam kontrak
selama setahun lagi apabila kontrak mereka tamat pada 31 Disember depan
sementara menunggu kajian menyeluruh berhubung perkara itu dilaksanakan.
Sumber: Berita Harian
beerita gembira kepada mereka
ReplyDelete