Program Transformasi Kerajaan (GTP) tahap kedua (2013-2015) merupakan
satu lagi cabaran baru kepada polis di mana sebanyak 35 inisiatif telah
dikenal pasti untuk pelaksanaannya.
Ketua Polis Daerah
Keningau, Deputi Superintenden Robert Salisip @ David berkata, kesemua
inisiatif baru dan lama adalah bermatlamatkan kepada pengurangan indeks
jenayah keseluruhan, kes-kes pecah rumah, meningkatkan indeks persepsi
keselamatan, meningkatkan bagi kertas siasatan serta meningkatkan
kepuasan masyarakat terhadap prestasi polis.
Katanya, dalam dunia
moden ini, ke semua prestasi kita diukur menggunakan kaedah tertentu dan
hasilnya juga dipaparkan dengan format tertentu.
Berucap di
Perhimpunan Bulanan Polis di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Daerah
Keningau, Robert memberitahu bahawa dalam dunia globalisasi sekarang,
prestasi polis dibentangkan melalui pelbagai indeks yang merangkumi
hasil kajian ekonomi, politik dan sosial dengan perbandingan statistik
bagi seluruh negara yang terlibat.
Beliau percaya anggota polis
mengetahui mengenai Indeks Keamanan Global (GPI), Forum Ekonomi Dunia,
Indeks Kesejahteraan Keluarga, Indeks Pembangunan Kemanusiaan
Bangsa-Bangsa Bersatu dan sebagainya.
Baru-baru ini, katanya, satu
lagi indeks mendapat perhatian dunia iaitu Indeks Kebahagiaan dan
mengikut laporan terbaharu Laporan Kebahgian Dunia (World Happiness
Report) yang diterbitkan oleh The Earth Institute, Universiti Columbia,
Malaysia adalah Negara ke 8 yang paling bahagia di antara 100 negara
yang dikaji.
“Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat di tempat ke
23, Kanada ke 24, Jepun ke 34 dan Korea Selatan ke 38. Saya berkongsi
maklumat ini kerana segala tindakan dan keberkesanan kita adalah
berkadar langsung dengan kebahagiaan masyarakat. Justeru, kita mestilah
terus menggandakan usaha agar masyarakat terus aman dan bahagia.
“Di
peringkat PDRM Keningau, kadar jenayah semasa telah menunjukkan
penurunan. Perbandingan jenayah daerah Keningau bagi tempoh Januari
sehingga Disember 2012 dengan tempoh yang sama pada tahun 2011
menunjukkan penurunan sebanyak negatif 19.51 peratus. Bagi jenayah
kekerasan dan penurunan sebanyak 0.00 peratus dan bagi jenayah harta
benda menunjukkan penurunan sebanyak negatif 3.79 peratus.
“Kadar
penurunan ini perlu dilihat sebagai motivasi untuk kita terus berusaha
tanpa mengenal erti penat lelah untuk mengurangkan jenayah ke tahap yang
paling minima,” katanya.
Robert berkata, pasukan polis telah
bekerja kuat melaksanakan 26 inisiatif di bawah Bidang keberhasilan
Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah. Hasil daripada pelaksanaan dan
pemantauan rapi daripada Kementerian Dalam negeri, PDRM telah berjaya
mengurangkan jenayah indeks dan jenayah jalanan selama tiga tahun
berturut-turut.
Di samping kejayaan-kejayaan PDRM membanteras
jenayah, katanya, cabaran-cabaran berkaitan persepsi masyarakat terhadap
perkhidmatan polis yang dikatakan tidak “tidak menepati sasaran” oleh
sesetengah golongan juga perlu ditangani demi menjaga kredibiliti
pasukan ini di negara ini.
Menurut beliau, PDRM mengambil
pendirian yang positif terhadap maklum balas ini. Manakala persepsi
adalah sesuatu yang berdasarkan kepada sentimen, maka pada hari yang
bersejarah ini beliau menyeru seluruh warga PDRM untuk mengubah persepsi
ini melalui pemantapan kualiti perkhidmatan demi memberikan kepuasan
maksima kepada orang ramai.
“Usaha menangani persepsi bermula dari
akar umbi dan dalam konteks polis, mereka yang berdepan dengan orang
ramai atau barisan depan mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang
tinggi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Amalan
integriti di dalam diri setiap pegawai dan anggota PDRM akan
menyerlahkan sifat profesionalisme mereka. Gandingan kedua-dua sifat
tersebut tentunya akan Berjaya meningkatkan persepsi positif masyarakat
terhadap PDRM.
“Itulah “magna carta” kita. Jika usaha berterusan
dan bersungguh-sungguh diambil, nescaya hasilnya akan menunjukkan trend
positif dalam system penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya.
Robert
berkata, walaupun petunjuk-petunjuk keberhasilan NKRA adalah
memberangsangkan dengan trend penurunan dalam kadar jenayah, anggota
polis juga perlu melihat kepada penilaian luaran yang boleh membantu
analisis status perkhidmatan PDRM.
Mengenai disiplin, beliau
meminta setiap organisasi beruniform seharusnya memiliki nilai-nilai
disiplin, etika dan peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi
pada setiap masa.
Katanya, etika dan disiplin adalah simbol
ketegasan dan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang akan
membezakannya dengan organisasi-organisasi lain, yang bebas dan tidak
terikat.
“Elemen budaya dalam polis, selain daripada penampilan
‘lelaki berbaju biru’,ialah pegangan yang teguh kepada nilai, etika dan
disiplin. Ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dalam diri
seseorang pegawai polis.
“Justeru, jangan biarkan sesuatu yang
negatif berlaku dalam organisasi kita. Jika ianya terjadi, sudah
tentulah imej kita akan tercalar, dan untuk memulihkannya adalah amat
sukar,” katanya.
Menurut Robert, pemulihan imej sesebuah
organisasi bukanlah sesuatu perkara yang mudah, ia memerlukan
perancangan yang teliti, tenaga, mengambil masa yang panjang dan
perbelanjaan yang tinggi sedangkan kerosakan dan kemusnahan imej akibat
segelintir begitu pantas berlaku.
Katanya, pihak pengurusan yang
bertanggungjawab perlu memastikan agar perkara ini diberi perhatian yang
sewajarnya agar kerosakan imej dapat dibendung, di samping memastikan
tindakan yang profesional di dalam membentuk mutu disiplin yang
dikehendaki menjadi amalan rutin pasukan Polis.
Pada majlis itu,
Robert turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 21
anggota polis bagi tahun 2011 atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang
yang diberikan kepada PDRM.
Sumber: New Sabah Times
kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi:)berikan komitmen yang tinggi pada kerja.
ReplyDeleteHarap pihak polis sentiasa bersedia dengan keadaan yang semakin mencabar dalam profesion mereka sekarang.
ReplyDeletepolis harus tingkatkan lagi mutu kerja mereka.
ReplyDelete