Friday, July 13, 2012

Muzium Sarang Burung Walit di Sandakan

Posted by Smookiekins On 7/13/2012 09:37:00 AM
Persatuan Industri Sarang Burung Walet Sabah (SABA) dengan kerjasama AMG Enterprise Bhd, sebuah syarikat terkemuka yang terkenal di rantau Asia sedang merancang untuk mewujudkan sebuah Muzium Sarang Burung Walit di daerah ini. Pengasas AMG Enterprise, Woo Tiam Onn, berkata muzium ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum memandangkan ia dapat meningkatkan pengetahuan tentang industri burung walit yang kini berkembang dengan pesatnya.

 Industri Sarang Burung Walet Sabah

Beliau berkata, usaha-usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan matlamat mewujudkan muzium seumpama ini tercapai apatah lagi perusahaan burung walet diyakini membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Katanya, apabila siapnya muzium ia akan memberi pengenalan berhubung perusahaan burung walit dari segi potensi kepada eko-sistem dan tanah terbiar selain memberi pulangan cukup lumayan kepada pengusaha yang terlibat sepenuhnya dalam penternakan industri tersebut.

“Kita sedang rangka perancangan untuk mewujudkan Muzium Sarang Burung Walit supaya masyarakat umum termasuk pelancong dalam dan luar negara bila berkunjung ke muzium akan mendapat sedikit maklumat yang lebih jelas mengenai penternakan burung walet serta potensinya. “Selain memberi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bentuk, saya yakin dan percaya muzium yang bakal dibina di Bandar Lee Tat Jaya dekat Batu 3 ini akan dapat menambah lebih ramai lagi pengusaha burung walit sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka sekali pun baru berjinak-jinak,” jelasnya.

Woo, yang merupakan pengusaha burung walit yang berpangkalan di negara China berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat terhadap Pengerusi SABA dan juga Pengarah Urusan Gerak Borneo iaitu Datu Mohd Faisal Datu Bachtiyal di pejabatnya di Sandakan Harbour Square (SHS), di sini, petang kelmarin. Hadir sama pada kunjungan itu termasuk agen pemasaran burung walit di China, Woo Guan Fei dan beberapa ahli SABA di daerah ini.

Antara lain objektif dan tujuan kunjungan adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli-ahli SABA dengan ahli bersekutunya yang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa. Dalam pada itu, Woo memberitahu kesedaran masyarakat umum penting supaya perkembangan perusahaan industri burung walit yang ketika ini sedang berkembang dengan pesat dapat diketahui secara keseluruhannya.
Ini katanya, perkembangan pesat industri ini tidak boleh disangkal lagi lebih-lebih ia telah merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat terutama di kawasan bandar dan luar bandar yang terlibat dalam penternakan industri burung walit.

“Kebaikan muzium berkenaan bila siap nanti, ia juga menjadi daya tarikan baru kepada sektor pelancong di bandar Sandakan. Ini kerana, pengunjung akan terpesona dengan rekabentuk dalaman muzium yang menyerupai sarang burung walit. “Saya percaya muzium ini akan popular dan bakal menjadi destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi kerana pengunjung akan memperoleh lebih banyak maklumat berhubung perusahaan industri burung walet terutama yang dilaksanakan oleh syarikat saya iaitu AMG Enterprise dengan pihak SABA dan Gerak Borneo,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu pengunjung tidak perlu pergi jauh semata-mata untuk melihat burung walet kerana di muzium berkenaan juga pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat burung layang-layang walit itu.
Sementara itu, Woo berkata keahlian ahli-ahli bersekutu SABA juga datangnya dari China, Singapura, Thailand, Indonesia serta Brunei. Katanya, perkembangan yang positif ini menunjukkan satu kemajuan kepada pihak persatuan dan rakan niaga dalam usaha untuk membangunkan lagi industri sekaligus mengukuhkan kedudukan pasaran sarang burung walit negeri ini dalam pasaran dunia terutama di China.

“Bukan mudah bagi ahli perniagaan individu Malaysia untuk menjalankan promosi dan jualan sarang burung di China kerana persaingan sangat sengit di sana,” kata Woo sambil berbangga dengan usaha Datu Faisal yang mempunyai komitmen dan halatuju untuk membangunkan industri itu.

Sementara itu, Datu Faisal ketika ditemui memberitahu pihaknya sangat-sangat berharap Kerajaan Negeri akan dapat memberi kerjasama bagi memajukan lagi industri ternakan walet di negeri ini.
Katanya, SABA memohon kepada pihak Kerajaan Negeri supaya membantu persatuan itu bagi memajukan industri penternakan walit.

“Kunjungan Woo yang juga rakan lama saya telah memberi peluang kepada ahli-ahli SABA untuk mendapatkan lebih banyak info berguna berkaitan dengan industri ini,” ujarnya.

Sumber: New Sabah Times

7 comments:

  1. Cadangan yang baik daripada SABA untuk mewujudkan sebuah Muzium Sarang Burung Walit, semoga mereka berjaya melakukannya.

    ReplyDelete
  2. Semoga Industri Sarang Burung Walit di Sabah boleh dimajukan lagi sehingga boleh bersaing di pasaran China dan luar negara.

    ReplyDelete
  3. satu lagi industri boleh dikembangkan di Sabah.

    ReplyDelete
  4. Kalau kita lihat pun sekarang ini. Dimana-mana kawasan sabah ini ada rumah burung walit. Ini bermaksud permintaan sangat tinggi terhadap produk sarang burung ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Industri burung walit pasti semakin berkembang di Sabah

      Delete
  5. Pasti muzium menyimpan banyak sejarah mengenai burung walit dan produk2

    ReplyDelete
  6. entah macam mana la rupa muzium Sarang Burung Walit ini hinggakan dijangka akan mampu menarik pengunjung/pelancong..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...