Monday, November 25, 2013

Musa Lancar Program Semarak Bersama Esscom

Posted by Smookiekins On 11/25/2013 10:36:00 AM
SANDAKAN – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini melancarkan Program Semarak Bersama ESSCOM dan portal ESSCOM Times yang bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotik dan setia kepada negara.

Beliau berkata pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) ternyata berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

“Pada awal tahun ini, kita dikejutkan dengan peristiwa berdarah di Lahad Datu dan Semporna yang merupakan satu catatan sejarah hitam di negara ini.

“Tragedi ini memberikan pengajaran berharga tentang betapa pentingnya kesatuan dan patriotisme rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman, Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib.

Sehubungan itu, Musa berkata rakyat negeri ini amat berterima kasih kepada kerajaan pusat khasnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang segera mewujudkan Esscom dan Esszone susulan insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu.

Katanya kerajaan komited untuk menjayakan pelaksanaan Esscom yang merupakan agensi yang menyelaras pelbagai pasukan keselamatan dan pertahanan dalam menjaga keselamatan di kawasan Esszone.

Musa berkata ini termasuk menyediakan peruntukan kewangan untuk pembangunan infrastruktur dan aset serta sumber manusia dan kemudahan lain yang diperlukan dan dalam Bajet 2014 kerajaan persekutuan memperuntukkan RM75 juta untuk Esscom.

Ini jelas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah selain mengukuhkan operasi Esscom, katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk membina lima lagi kem batalion pasukan keselamatan yang akan ditempatkan di Esszone seperti yang telah diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri.

Musa turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Esscom yang berjaya menerbitkan edisi khas Buletin ESSCOM dan mewujudkan Portal berita ESSCOM Times yang memuatkan maklumat sahih dan terkini berkaitan Esscom khususnya soal-soal keselamatan di Esszone.

Beliau berharap penerbitan Buletin ESSCOM dan pewujudan portal berita ESSCOM Times, rakyat akan mendapat maklumat yang sahih dan tepat berhubung keadaan keselamatan di samping berpeluang mengikuti perkembangan terkini Esscom dari semasa ke semasa.

“Di samping itu, portal ini juga akan dapat membantu menangkis serta memberi penjelasan terhadap isu-isu keselamatan yang sering dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam kalangan rakyat,” katanya.

Portal ESSCOM Times boleh dilayari di www.esscom.gov.my

Bercakap kepada pemberita kemudian, Musa berkata Sabah berada dalam keadaan terkawal dengannya anggota pelbagai agensi yang sentiasa bersedia menjaga dan melindungi keselamatan rakyat. - Bernama
Reactions:

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...