Ribuan warga bandaraya Kota Kinabalu dijangka akan menyaksikan sambutan
Ambang Merdeka yang akan diadakan di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu
pada malam 30 Ogos ini.
Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir
berkata, pelbagai acara telah disusun untuk memeriahkan lagi sambutan
itu, antaranya perarakan tanglung, perarakan kereta berhias dan
persembahan artis-artis tempatan.
“Kita berharap warga bandaraya
datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi sambutan Ambang Merdeka
sekaligus menunjukkan kesetiaan kita kepada negara selain memberi
peluang kepada kita untuk menghayati erti kemerdekaan,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Dewan Masyarakat, di
sini, kelmarin.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji
Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Setiausaha Kerajaan
Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam
Sekitar Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal
Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua
Menteri yang juga bertanggungjawab dalam Hal Ehwal DBKK Datuk Edward
Yong dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Abu Bakar Hassan.
Hadir
sama Pesurujaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Konsul Jeneral Indonesia
di Kota Kinabalu Soepeno Sahid dan isteri, isteri Mayor Datin Florence
Malangkig, Ketua Pengarah DBKK Datuk Yeo Boon Hai dan isteri Datin
Rohayah Pawzy dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan DBKK.
Abidin
turut menyeru pemilik bangunan dan para peniaga di sekitar bandaraya
supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sebagai tanda
bersyukur di atas kemakmuran dan keamanan negara khususnya bandaraya
Kota Kinabalu.
“Walaupun kita telah mengagih-agihkan bendera Sabah
dan Jalur Gemilang namun masih ramai yang tidak mengibarkan bendera di
premis masing-masing.
“Oleh itu saya berharap para peniaga dan
pemilik bangunan dapat memberikan kerjasama untuk mengibarkan bendera di
premis masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, bandaraya akan
menyaksikan dua acara penting sempena sambutan Hari Kemerdekaan iaitu
Perbarisan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di Kompleks Sukan Likas dan
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Taman Prince Philip
Tanjung Aru.
Mengenai tahap pembangunan di bandaraya Kota Kinabalu
selepas negeri ini mencapai kemerdekaan, Abidin berkata terdapat
perbezaan ketara terutamanya dari segi pembangunan.
“Dahulu Kota
Kinabalu hanya pekan kecil tetapi kini menjadi sebuah bandaraya yang
pesat membangun dan menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar
negara.
“Kalau kita lihat di sekeliling kita, banyak bangunan kini
tersergam indah yang menjadi mercu tanda kejayaan bandaraya ini. Begitu
juga dengan aktiviti perniagan yang kini semakin berkembang maju,”
katanya.
Berkenaan dengan majlis itu Abidin berkata ia adalah
aktiviti tahunan DBKK untuk memberi peluang kepada warga bandaraya dan
kakitangan DBKK dari pelbagai bangsa dan agama meraikan sambutan
Aidilfitri bersama-sama dengan para pemimpin negeri.
Pada majlis
itu Norlidah menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada DBKK kepada 20
kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah Kinarut, Papar.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment