Wednesday, June 12, 2013

Sabah bantu negara capai matlamat negara pendapatan tinggi menjelang 2020

Posted by Smookiekins On 6/12/2013 11:34:00 AM
Sabah berperanan penting membantu negara mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan mewujudkan pendapatan perkapita kira-kira RM45,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata negeri ini dijangka dapat menarik kira-kira RM10 ke RM15 billion pelaburan untuk tahun ini yang merupakan 10 peratus daripada sasaran negara.

Menurutnya, sebahagian besar daripada sasaran itu dijangka hasil daripada sektor minyak sawit terutama melalui pemprosesan hiliran termasuk biomass.

“Bagi kerajaan negeri, kita mempunyai POIC Sabah Sdn Bhd dan Sawit Kinabalu yang akan menolak sempadan baru dalam nilai sambil menambah usaha niaga.

“Manakala bagi kerajaan pusat, kita mempunyai Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi dan Agensi Inovasi Negara yang membantu merealisasikan potensi dalam minyak sawit ini,’’katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya bersempena Pameran Perdagangan Teknologi Minyak Sawit Tahunan Palmex (Palmex 2013) yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah di Hotel Promenade di sini kelmarin.

Sementara itu katanya, negeri ini akan menjadi negeri perintis di negara ini mempamerkan model perniagaan melibatkan sektor biomass.

“Sesungguhnya sektor biomass berpotensi untuk menjana produk nilai dan dapat memberi keuntungan kepada pelabur dengan perjanjian secara bersama (JV) di Lahad Datu yang boleh menjadi formula menangani cabaran mengakses biomass.

“Kelompok JV adalah satu kejayaan kerana ia membawa bersama-sama pemilik biomas, pembeli bahan mentah, pembeli pembekal teknologi yang dapat menyerlahkan potensi ekonomi biomass.

“Ini akan memberi keyakinan kepada pelabur yang melihat potensi biomass sekaligus mempertimbangkan secara serius menubuhkan kemudahan pemprosesan biomass di Sabah,’’katanya.

Bercakap mengenai projek perintis itu, Kumpulan Teck Guan yang mengambil langkah memulakan usaha itu di daerah ini memperlihatkan kerjasama sektor awam dan swasta membawa ekonomi negara maju ke hadapan.

“Kumpulan Teck Guan yang menghasilkan produk Bio-ethanol daripada tandan kosong mencerminkan kebijaksanaan dan semangat keusahawanan syarikat itu menjadikan bahan sisa dapat menjana kekayaan,’’katanya.

Pameran Palmex pada kali ini disertai sebanyak 46 syarikat yang terdiri daripada peserta industri sawit negara dan daripada luar iaitu Singapura, India, England, Sepenyol dan China.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...