Saturday, May 4, 2013

Tingkat bekalan air bersih antara manifesto tambahan calon BN

Posted by Smookiekins On 5/04/2013 08:00:00 AM

TAWAU: Meningkatkan bekalan air bersih mencapai tahap 100 peratus meliputi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas merupakan antara manifesto tambahan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, kemudahan bekalan air bersih itu turut meliputi Kg Kuala Balung yang masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan air perigi dan air hujan dan juga berusaha mengatasi masalah tekanan air rendah di beberapa kampung di situ.

“Kita juga akan berusaha meluaskan liputan bekalan tenaga elektrik berkualiti sehingga ke kawasan terpencil yang mempunyai sedia ada liputan bekalan elektrik,’’katanya.

Selain itu peratusan liputan jalan berturap di DUN Apas dari 85 peratus akan ditingkatkan kepada 95 peratus termasuk jalan masuk melalui Jalan Sungai Burung ke Kg Kuala Balung.

“Selain itu manifesto juga termasuk membina jalan bersimen di lorong-lorong kecil di kampung-kampung dalam DUN Apas, antaranya Lorong Hamzah dan lorong Ibu Nurhayati Jalan Habib Abdul Rahman.

“Begitu juga di kampung-kampung lain yang memerlukan pembinaan jalan bersimen akan diusahakan dari semasa ke semasa dan menaik taraf jambatan serta titian usang / daif di beberapa kampung di sini,’’ katanya.

Datuk Tawfiq menambah, pihaknya juga akan berusaha untuk memasang lampu jalan kampung di kawasan lorong-lorong Jalan Habib Abdul Rahman dan Kampung Membelua.

“Selain kemudahan itu, kita juga akan berusaha untuk mendapatkan kelulusan pembinaan lima buah masjid baru di Kg Sungai Apas, Kg Apas Parit, Kg Gading, Kg Membelua dan Kg Tinagat.

Manifesto tambahan lain termasuklah berusaha membina dewan serbaguna di beberapa kawasan dan memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan penyediaan 1,000 unit rumah, dan mendapatkan kelulusan lima lagi gelangang futsal.

“Kita juga akan mencadangkan untuk mewujudkan Yayasan Pendidikan Apas bagi mengumpul dan mengurus dana untuk bantuan kebajikan murid dan pelajar miskin yang menghadapi kekurangan kewangan dalam melanjutkan pelajaran.

“Kita juga berusaha untuk mewujudkan sebuah Sekolah Agama Rakyat, menyalurkan bantuan dana kepada SJK Cina serta rumah-rumah ibadat Cina dan Kristian di kawasan ini,’’katanya lagi.

Dalam manifesto kita juga akan berusaha memastikan Projek Pembangunan Bandar Baru Titingan dapat dimulakan tanpa menjejaskan hak serta Kebajikan Warga Kampung Titingan (Warganegara).

“Projek yang melibatkan penimbusan laut dan tidak melibatkan perobohan rumah warga Kampung Titingan di kawasan darat hanya akan dimulakan setelah pendekatan “Berdialog dengan masyarakat setempat” (Stakeholder) diadakan terlebih dahulu,’’katanya.



Sumber : New Sabah Times 

2 comments:

  1. bekalan air di Sabah harus dipertingkatkan

    ReplyDelete
  2. Rakyat kena sama2 menjaga punca utama air seperti sungai supaya air lebih selamat dan bersih untuk diminum.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...