Wednesday, May 29, 2013

Operasi penguatkuasaan bersepadu banteras kegiatan curi air

Posted by Smookiekins On 5/29/2013 11:34:00 AM
Bahagian Penguatkuasa Jabatan Air Lahad Datu akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di 22 lokasi yang telah dikenal pasti di daerah ini dalam usaha membanteras kegiatan curi air yang semakin meningkat.

Jurutera Air Bahagian, Samsul Bahriy Marullah berkata, operasi tersebut akan dijalankan dalam tempoh terdekat ini dan akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak polis.

Katanya, operasi dilaksanakan ekoran pihaknya menerima aduan pengguna di beberapa lokasi terlibat mengenai masalah bekalan air yang berlaku ekoran daripada kegiatan curi air yang dikesan dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Beberapa aduan telah kita terima mengenai masalah bekalan air sebelum ini. Apabila pemeriksaan dibuat, kita dapati ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang membuat penyambungan paip secara haram di paip utama,”katanya di sini, semalam.

Menurut Samsul, apabila aktiviti itu berlaku, ia secara tidak langsung menjejaskan pengguna bermeter terutama penduduk yang tinggal di kawasan tekanan air rendah di lokasi-lokasi yang dikenal pasti itu.
Ini kerana katanya, apabila penyambungan paip dibuat secara tidak betul ia boleh mengakibatkan berlakunya kebocoran paip dan dalam masa sama menyebabkan isi padu dan tekanan air turut berkurang.

“Apabila itu berlaku, selalunya penduduk atau pengguna yang tinggal di kawasan tekanan rendah pasti akan berhadapan dengan masalah bekalan air ini,”jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada pencuri air bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka sekiranya masih enggan mematuhi arahan pihak jabatan Air Lahad Datu.

Katanya, mereka yang didapati melakukan kegiatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah bekalan air sabah 2003, iaitu mengikut Seksyen 49 (b) kerana mengubah, mengambil, melencongkan yang menyalahi undang-undang atau mengambil air dari mana-mana sistem bekalan air.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...