Wednesday, May 29, 2013

Najib ulangi janji turun harga kereta

Posted by Smookiekins On 5/29/2013 11:53:00 AM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulangi janji kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat sehingga 2017.


“Seperti dijanjikan, harga kereta akan diturunkan secara berperingkat. Insya-Allah, saya akan pastikan setiap janji dibuat ditepati,” katanya dalam tweet terbaru beliau semalam. 

Dalam Aku Janji Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Barisan Nasional (BN) berjanji menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 dan 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional, jika diberi mandat untuk kembali mentadbir negara.


Mengulas isu sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model kereta popular di negara ini sudah menurun secara purata 7.3 peratus.

Laksana secara tersusun

Beliau berkata, pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang mana terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain industri automotif.


Katanya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya ia tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan yang sedia ada bagi sektor industri terbabit dan berkaitan. 

“Oleh itu, kami telah melakukan perbincangan dengan syarikat-syarikat pembuat kereta dan mereka juga sedar mengenai Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA yang bakal dilaksanakan serta faedah-faedah yang akan diperkenal kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan agensi di bawahnya di sini, semalam.


Perhimpunan bulanan ini adalah perhimpunan pertama diadakan bersama pucuk pimpinan baru selepas pelantikan Kabinet 2013.

Mustapa berkata, pemain industri automotif kini perlu bersedia meningkatkan daya saing dan pengeluaran mereka, sesuai dengan iklim persaingan yang semakin hebat di Malaysia dan luar negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa selain usaha menurunkan harga kereta di pasaran tempatan, kerajaan juga melihat keseimbangan lain seperti mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan inisiatif pembinaan pengangkutan awam yang lebih cekap.


Sumber: Berita Harian
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...