Thursday, May 2, 2013

Masyarakat Tionghua teguh dibelakang BN

Posted by Smookiekins On 5/02/2013 03:48:00 PM


SANDAKAN: Masyarakat kaum Tionghua di bandar ini berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Jaminan itu dibuat seorang ahli perniagaan terkemuka iaitu Datuk Kong Kok Wah (gambar) selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kaum Tionghua Dengan Ketua Menteri di Taman Sentosa, Batu 2, Jalan Utara, di sini, malam Selasa lepas.

“Kita berpuas hati dengan tahap perkhidmatan terbaik yang telah diberikan BN selama ini dan saya berkeyakinan penuh kaum Tionghua sekali lagi akan memberi mandat untuk BN meneruskan tampuk pemerintahannya.

“Ini kerana, banyak pembangunan yang dilaksanakan BN sepanjang tempoh lima tahun ini di mana kita boleh menyaksikan kepesatan pembangunan Sandakan dari segi kewujudan Hab Pendidikan di Batu 10, pembinaan Northen Ring Road di samping pembinaan begitu banyak perumahan termasuklah perumahan mampu milik,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis dihadiri kira-kira 2,000 hadirin kebanyakannya kaum Tionghua sekitar bandar ini.

Kong, yang merupakan pesara Kumpulan Wah Mie iaitu sebuah syarikat perumahan terkenal di Sabah berkata sokongan padu akan diberikan kaum Tionghua kepada calon-calon BN sekali pun pembangkang memperhebatkan kempen mereka.

Beliau berharap kepada kaum Tionghua jangan sesekali terpengaruh dengan apa jua kempen pembangkang memandangkan polisi mereka berlainan dengan kerajaan sedia ada.

Dia mendakwa matlamat dan halatuju pembangkang kadangkala meragukan terutama dalam soal melibatkan kepimpinan mereka.

“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang mantap sebagaimana ditunjukkan kerajaan BN dibawah kepimpinan Najib biarpun baru beberapa tahun memegang jawatan Perdana Menteri tetapi beliau berjaya mensejahterakan semua kaum.

“Ini yang kita harap dari sudut ekonomi … kita akan berdiri teguh di belakang beliau dan menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi,” katanya.

Sumber : New Sabah Times 

1 comment:

  1. BN mendapat sokongan dari seluruh lapisan rakyat

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...