Wednesday, May 29, 2013

Kerajaan timbang pandangan

Posted by Smookiekins On 5/29/2013 12:07:00 PM
Kerajaan sedia menerima pandangan dan cadangan pelbagai pihak mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebelum ia dimuktamadkan akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaksanaan TPP akan memastikan kepentingan ekonomi negara tetap terpelihara, terutamanya untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga usahawan Bumiputera.


“Proses ini masih berterusan dan pihak kerajaan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak dan menerima pandangan umum.” “Pandangan pihak media juga amat dialu-alukan untuk pelaksanaan perjanjian ini, dan kerjasama seperti ini akan ditingkatkan,” katanya selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama dengan wakil dewan perniagaan di sini semalam.


Beliau berkata, pembabitan Malaysia dalam perjanjian perdagangan antarabangsa seperti itu harus dilakukan bagi memastikan barangan Malaysia mampu bersaing secara kompetitif di pasaran luar negara.


“Sekiranya Malaysia tidak terbabit dalam perjanjian seperti ini, implikasinya adalah barangan tempatan akan dikenakan cukai import yang tinggi berbanding negara lain, maka ini akan menyukarkan syarikat kita untuk menembusi pasaran asing,” katanya.



Malaysia adalah antara 11 negara yang terbabit dalam beberapa siri perbincangan perjanjian TPP dan perjanjian itu bakal membentuk satu jaringan perdagangan bebas terbesar di dunia, jika berjaya dilaksanakan.


Mustapa turut menjelaskan mengenai senario politik semasa kini hanya akan memberi kesan sementara kepada perkembangan ekonomi negara ini.


“Di setiap negara, pastinya akan ada pihak pembangkang dan semestinya terdapat perhimpunan yang dianjurkan oleh mereka, namun ‘silent majority’ yang akan menentukan keadaan dan kemajuan negara,” katanya.


Sumber: myMetro
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...