Monday, May 27, 2013

BN perlu berani ubah strategi

Posted by Smookiekins On 5/27/2013 09:05:00 AM

Pemimpin, wakil rakyat tidak lagi boleh beranggapan formula, ramuan diguna pakai sebelum ini masih sesuai: Najib


Barisan Nasional (BN) perlu berani melakukan pembaharuan dan perubahan bagi memastikan parti itu sentiasa relevan serta mesra rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembaharuan dan perubahan dari segi strategi, pendekatan, program dan lebih pragmatik penting sebagai persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“BN perlu berani berubah sebelum rakyat menolak, kerana walaupun sudah memegang pemerintahan secara berterusan selama 56 tahun dan sudah melakukan pelbagai usaha pembangunan untuk semua kaum namun ia bukan jaminan untuk terus kekal memerintah.

Perlu bersikap pragmatik

“Pemimpin dan wakil rakyat BN tidak lagi boleh beranggapan formula dan ramuan yang diguna pakai sebelum ini masih sesuai, tetapi perlu bersikap terbuka dan pragmatik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menafikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran UMNO Bahagian Pekan sempena kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di hadapan lebih 5,000 orang di Dewan Konvensyen di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Ishak Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun; ADUN Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali; ADUN Bebar, Mohd Fakhruddin Mohd Arif dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Perdana Menteri berkata, landskap politik negara yang berubah pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihatkan formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan.

“Kita tidak boleh anggap apa yang diguna pakai selama ini sesuai pada masa akan datang, kita mesti bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik. Sikap pragmatik kena jadi pegangan... jasa dan budi yang sudah banyak ditabur tidak boleh dianggap tiket untuk (BN) terus pimpin kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Kita juga tidak boleh terlalu selesa dan berpuas hati dengan apa dicapai, sebaliknya perlu berani serta tabah membuat perubahan bagi mengemudi parti untuk merapatkan barisan, mempelajari kelemahan dan menambah baik kekuatan yang ada,” katanya.

Najib berkata, BN juga kena ada unsur yang boleh menyegarkan imej parti untuk terus diterima rakyat.
“Jika kita tidak berani membawa unsur itu, maka kita akan menghadapi kesukaran pada masa akan datang,” katanya.

Pesanan untuk wakil rakyat

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengingatkan semua wakil rakyat BN yang memenangi pilihan raya umum lalu supaya terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat dengan penuh inklusif dan rasa rendah diri.

Katanya, wakil rakyat dinilai menerusi keperibadian dan tahap perkhidmatan yang diberi, sekali gus membantu parti menghadapi pilihan raya akan datang yang sudah tentu lebih mencabar.

“Jangan sombong dan mungkir janji dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat... ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya.


Sumber: Berita Harian

1 comment:

  1. Beliau berkata landskap politik negara yang terus berubah pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihatkan formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan lagi. Kita tidak boleh anggap apa yang telah diguna pakai selama ini dianggap sesuai pada masa akan datang, kita mesti bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik, katanya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...