Friday, April 12, 2013

UMS Kampus Labuan IPTA pertama wujudkan Kedai Koop 1Malaysia

Posted by Smookiekins On 4/12/2013 01:49:00 PM
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di negara ini yang mewujudkan Kedai Koop 1Malaysia.

Premis berkenaan yang beroperasi sejak 1 Mei 2012 dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Sabtu lalu sempena lawatan kerja beliau ke UMSKAL.


Turut hadir Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd Said, Bendahari UMS, Rizal Othman yang juga Pengerusi Koperasi UMS Bhd, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Ismail Ali dan Pengurus Kedai Koop 1Malaysia UMSKAL, Norzuanizan Ahmad Nor.


Menurut Rizal, Kedai Koop 1Malaysia itu menjual pelbagai produk makanan dan minuman serta barangan runcit dengan harga yang lebih rendah terutama barangan produk 1Koop.


Katanya, barangan produk 1Malaysia itu termasuk barangan keperluan harian sesuai dibeli oleh pelajar dengan harga yang berpatutan bagi meringankan beban kewangan mereka.


Beliau berharap pelajar dan kakitangan akan mengambil kesempatan itu untuk membeli barangan harian termasuk barang dapur yang dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga di luar.


“UMSKAL merupakan IPTA yang pertama membuka Kedai Koop 1Malaysia yang member peluang kepada pelajar membeli barangan dengan harga yang lebih murah, “ katanya selepas menyerahkan sumbangan Koperasi UMS Bhd kepada UMSKAL yang diterima Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun.


Kedai Koop 1Malaysia UMSKAL juga terbabit dengan program TUKAR iaitu Program Transformasi Kedai Runcit yang bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.


Pihak pengurusan UMSKAL juga menempatkan barangan cenderamata keluaran universiti di premis tersebut untuk dijual kepada pelanggan terutama pelajar sebagai tanda kenang-kenangan sebelum mereka menamatkan pengajian kelak.


Kedai Koop 1Malaysia terletak di Bangunan Pusat Ko-Kurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKP) UMSKAL berhampiran dengan kolej kediaman pelajar beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan Sabtu (9 pagi – 1 petang).



Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...