Thursday, March 7, 2013

Sabah milik sah Malaysia - Pakar sejarah

Posted by Smookiekins On 3/07/2013 03:52:00 PM

Beberapa pakar sejarah kelmarin menegaskan Sabah ialah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak kerana rakyat negeri itu telahpun bersetuju dengan pembentukan Malaysia dalam tinjauan kajian Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Ketua Program Sejarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mosli Tarsat berkata berdasarkan bukti sejarah, ia jelas menunjukkan status negeri Sabah memang sah sebagai sebahagian daripada Malaysia dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Malaysia, pernah dikuasai dan dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Sulu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, Jepun dan penjajah British, tetapi selepas 1963, keadaannya berubah setelah Sabah bersama dalam pembentukan Malaysia, katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Beliau berkata semasa Suruhanjaya Cobbold membuat tinjauan menyeluruh di Sabah dan Sarawak selama empat bulan mengenai penubuhan Malaysia, suruhanjaya itu menerima 2,200 memorandum, dengan lebih kurang 80 peratus rakyat kedua-dua negeri itu menyokong penubuhan Malaysia.

Laporan suruhanjaya itu telah dikemukakan kepada kerajaan British, dan Malaysia kemudian ditubuhkan dengan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak, tambahnya

“Oleh itu, Sabah secara rasmi menyertai pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963 setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963,” katanya.

Katanya beliau menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Sabah ialah hak Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang turut bersetuju dengan kenyataan Rais itu berkata Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang diiktiraf dunia.

“Oleh itu, tidak timbul soal tuntutan sebahagian daripadanya oleh mana-mana pihak sekalipun. Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan semalam adalah tepat dari segi sejarahnya.

“Tidak timbul soal tuntutan, perkara itu sudah selesai lama dahulu,” kata Felo Utama Unit Kajian Strategik Universiti Malaysia Perlis ketika dihubungi di sini.


Sumber: New Sabah Times

2 comments:

  1. Sabah bukan hak sulu lagi

    ReplyDelete
  2. malingsia mencuri Sabah hasil tipudaya british

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...