Wednesday, March 27, 2013

Program naiktaraf jalan Petagas-Lok Kawi dijangka dimulakan awal April

Posted by Smookiekins On 3/27/2013 10:24:00 AM
PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata, projek menaiktaraf jalan raya Petagas- Lok Kawi yang melibatkan pembesaran dan penambahan satu lagi lorong pada jalan raya sedia ada dijangka akan dimulakan awal April ini.

Beliau berkata, projek menelan belanja RM136.2 juta di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 30 bulan iaitu pada Oktober 2015.

“Penambahan satu lagi lorong pada jalan raya dua lorong dua hala itu dijangka dapat membantu mengatasi masalah kesesakan serius yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikina pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Mengundi Petagas di Dewan Raya Petagas.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Putatan, Haji Arsit Sedi, Naib Ketua Umno Bahagian, Assan Nasib, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Juriah Palasin, Ketua Daerah Mengundi Petagas, Haji Mahlan Zinin dan pemimpin masyarakat setempat.

Kira-kira 1,000 pengundi dan jentera Jalinan Rakyat Daerah Mengundi Petagas menghadiri majlis itu. Mereka turut menerima bantuan beras daripada Yahya.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas berkata projek pembesaran jalan itu membabitkan pembinaan sebuah jejambat melintasi jalan Putatan di hadapan stesen kerata api Putatan.

“Ini akan memberi kemudahan kepada orang ramai yang sering menyeberangi jalan raya tersebut ke kawasan Tamu Putatan,” katanya.

Beliau berkata pembesaran jalan raya Petagas-Lok Kawi itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin terhadap masalah kesesakan teruk yang sering berlaku di Putatan terutama pada waktu puncak.

Pengguna jalan raya yang menuju ke Bandaraya Kota Kinabalu kini lebih tertumpu di laluan Putatan kerana ketiadaan jalan alternatif.

“Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius dan menjejaskan penduduk sekitar daerah Putatan menjalankan aktiviti harian mereka. Sebab itu, kita perlu membesarkan jalan raya sedia ada bagi mengatasi masalah kesesakan itu,” katanya.

Yahya berkata, kesesakan lalu lintas juga berpunca daripada pembangunan pesat yang berlaku di kawasan Putatan dibawah pemerintahan Kerajaan BN.

Menurutnya, Kerajaan juga akan membina sekolah menengah baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas dalam tempoh terdekat ini.

“Kemudahan ini diperlukan berikutan sekolah menengah sedia ada tidak dapat menampung pertambahan murid setiap tahun,” katanya.

Putatan kini mempunyai dua buah sekolah menengah iaitu SMK Putatan dan SMK Tansau.

Berkenaan dengan pilihan raya akan datang, beliau mengingatkan rakyat agar terus memberi mandat kepada BN untuk menerajui Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Mandat itu penting bagi membolehkan Kerajaan BN meneruskan kesinambungan program-program pembangunan yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
 
Sumber : New Sabah Times 
Reactions:

1 comment:

  1. semua jalan di Sabah harus dinaiktaraf

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...