Saturday, March 30, 2013

'Kenapa daddy pergi...'

Posted by Smookiekins On 3/30/2013 09:56:00 AM
 Abdul Khalid (tengah) bergambar kenangan bersama waris dan keluarga wira Lahad Datu selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Waris Wira Negara, semalam

SHAH ALAM -“Saya ingatkan kita akan hidup bersama selamanya, kenapa daddy pergi sebelum saya rasai kasih sayang sepenuhnya?" Begitulah rintihan anak tunggal wira negara, Mendiang Assisten Superintenden Michael Padel yang terkorban dalam Op Lahad Datu, Mcloie Michael.

Menurut isteri mendiang, Jabah Mingku, luluh hatinya melihat air mata anak tunggal kami yang selalu bertanyakan ayahnya.

“Setiap malam dia akan menangis meminta saya memeluknya kerana terlalu rindukan mendiang ayahnya. Tiada apa yang boleh dibuat untuk menghilangkan kepiluan anak ini.

“Dahulu suami pernah luahkan bahawa beliau telah kehilangan ayahnya ketika berusia enam tahun, dan betapa getirnya hidup tanpa ayah di sisi ketika membesar, sebab itu dia berjanji akan penuhi segala keinginan anak tunggal mereka dan tidak mahu anaknya merasakan apa yang pernah dirasainya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Waris Wira Negara dalam Op Daulat Lahad Datu, semalam.

Jabah berkata, beliau benar-benar tidak menyangka realiti itu sedang dihadapi mereka dua beranak kini.

“Bagaimanapun, saya kagum dengan semangat mendiang yang nekad memerangi penceroboh daripada menodai kedaulatan negara.

“Dia (Michael Padel) kata tidak peduli apa akan ditempuhinya asalkan penceroboh tidak merampas apa dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Jabah berkata, beliau menghargai keprihatinan Kerajaan Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh rakyat Malaysia yang sudi menghulur bantuan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun moral.

“Kami akan memanfaatkan sumbangan ini sebaik mungkin dan untuk meneruskan hidup tanpa ketua keluarga, kami sangat memerlukan sumbangan seumpama ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, balu kepada Koperal Salam Tugiran, Marlinah Utan, seorang suri rumah terpaksa membesarkan empat orang anak sangatlah perit untuknya bagi mencari nafkah selepas kehilangan tulang belakang keluarga.

“Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana sudi beri sumbangan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Pada majlis sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sumbangan wira-wira ini amatlah besar kepada negara dan cukup bermaruah dalam hal mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan pengganas.

Kerajaan Selangor menyumbangkan RM20,000 kepada setiap keluarga iaitu waris Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon, Salam Tugiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit dan Mendiang Michael Padel.
 
Sumber : Sinar Harian 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...