Lebih 50 individu termasuk wanita, sebahagiannya dipercayai rakyat
tempatan ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pencerobohan pengganas
di Lahad Datu dan Semporna.
Mereka ditahan mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang digubal
menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Penahanan yang
dilakukan di luar kawasan Ops Daulat itu hasil risikan dan serbuan
pegawai serta anggota Cawangan Khas Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa rumah dan premis di seluruh Sabah.
Kebanyakan mereka ditahan di Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.
Ops
Daulat diteruskan pada hari keempat semalam, dengan tiga pesawat
pejuang dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat
berlegar di ruang udara pada sebelah pagi bagi memantau dan mengesan
pergerakan musuh.
Letupan mortar juga didengari di Kampung Tanduo
pada jam 2.30 petang dan 5 petang dipercayai dilepaskan dari kereta
perisai pasukan keselamatan.
Tiga mayat pengganas
Ketua
Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima
Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat
16, turut menunjukkan gambar tiga mayat pengganas yang dibunuh dalam
pertempuran di Kampung Tanjung Batu kelmarin dan baju ketua pengganas
berpangkat jeneral.
Bagaimanapun Ismail berkata, nasib ketua
kumpulan pengganas, Agbimuddin Kiram belum diketahui, walaupun seorang
daripada yang terbunuh itu memakai pakaian jeneral.
Berdasarkan
gambar baju celoreng itu tertera ‘Royal Sulu Army’ tetapi nama pada
bahagian depan sebelah kiri baju sudah dipadamkan.
Menurut sumber,
persoalan sama ada lelaki dibunuh itu Agbimuddin sukar dipastikan
kerana ada kemungkinan adik Jamalul Kiram III mengarahkan anak buahnya
memakai baju itu bagi mengelirukan pasukan keselamatan.
Ismail
berkata, semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan enam pegawai
dan anggota polis Cawangan Khas yang terkorban dalam serangan hendap di
Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna, 2 Mac lalu.
“Kami masih
menjalankan siasatan sama ada mereka itu pengganas yang diburu pasukan
keselamatan kita di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya.
Zulkifeli
berkata, sehingga petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra
berkaitan dakwaan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata
tanpa syarat.
“Kami menghubungi Wisma Putra dan masih tiada berita
sejak pagi tadi (semalam)... tiada isyarat (serah diri dan letak
senjata) daripada pihak berkenaan. Justeru, Ops Daulat diteruskan,”
katanya.
Ditanya sama ada suspek terbabit memiliki MyKad atau
dokumen Penduduk Tetap (PR), Ismail berkata: “Kami tidak boleh
mengesahkannya kerana masih dalam siasatan.”
Sumber: Berita Harian
smeua tali barut harus dikenakan hukuman berat
ReplyDelete