Tuesday, February 19, 2013

RM7.7 juta projek infrastruktur PNS seluruh Sabah

Posted by Smookiekins On 2/19/2013 05:48:00 PM

Sebanyak RM7.7 juta akan dibelanjakan bagi projek-projek fasiliti dan infrastruktur untuk pembangunan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) di seluruh negeri yang telah dikenal pasti.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hjh Azizah Dun berkata, setiap tahun pembangunan perpustakaan di bawah kementeriannya akan terus diberikan keutamaan.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Membaca Peringkat Negeri Sabah 2013 kelmarin di Pusat Membeli-Belah Suria Sabah.

“Pada tahun ini, pembinaan bangunan baru Cawangan Tambunan akan dimulakan yang mana kos bagi projek ini akan menelan belanja sebanyak RM4 juta.

“Selain itu, lima bas bergerak yang baru juga akan dibeli tahun ini bagi menggantikan bas yang telah rosak bagi Perpustakaan Wilayah Keningau dan Sandakan serta bagi Perpustakaan Cawangan Tambunan, Beaufort dan Kudat dengan jumlah kos sebanyak RM1.5 juta,” jelas Azizah.

Katanya, kita juga akan membina bangunan Perpustakaan Luar Bandar di 10 kampung iaitu Kampung Kalumpang Pitas, Kampung Lihak-Lihak Semporna, Kampung Rosok Kota Belud, Pekan Apin-Apin Keningau, Kampung Pagalungan Nabawan, Kampung Kaiduan Papar, Kampung Kokol Menggatal, Kampung Pantai Emas Kota Belud, Kampung Bolotikan Papar dan Kampung Klias Kecil Beaufort.

Azizah berkata, semua pembinaan bangunan Perpustakaan Luar Bandar itu akan menelan belanja sebanyak RM2.2 juta serta bangunan-bangunan itu juga adalah bagi menggantikan bangunan asal Perpustakaan Luar Bandar di kampung-kampung berkenaan yang telah uzur.

“Kita berharap dengan adanya bangunan-bangunan baru ini nanti, dapatlah kita memberikan perkhidmatan perpustakaan yang lebih baik dan selesa kepada rakyat yang berada di luar bandar,” katanya.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...