Wednesday, January 16, 2013

Kempen 'Jom, Kita Tegur Si Kutu Sampah' akan diperluas

Posted by Smookiekins On 1/16/2013 03:27:00 PM

Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir berkata konsep kempen ‘Jom, Kita Tegur Si Kutu Sampah’ akan terus disebarkan secara meluas pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 Puspanita Cawangan Bandaraya di sini.

“Konsep kempen itu yang pertama telah dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini di bawah Kelab Anti Kutu Sampah universiti itu merupakan yang pertama diadakan di Sabah.
“Konsep itu juga akan diperluaskan ke tempat lain pada masa hadapan,” tegas beliau ketika ditanya mengenai pelaksanaan konsep kempen itu di kawasan yang lain.

Mengenai ketiadaan sebuah tong sampah di sebuah perhentian bas yang berhampiran dengan tiga sekolah di kawasan Kampung Kalansanan Inanam yang disiarkan oleh akhbar ini baru-baru ini, katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menggunakan peruntukan yang diberi untuk membekalkan tong sampah di setiap kawasan yang dikenal pasti.

“Sungguhpun tiada tong sampah di kawasan-kawasan yang disebut, tidak bermakna itu merupakan ‘lesen’ bagi mereka untuk membuang sampah-sarap di merata tempat.

“Sebenarnya, isu ini timbul kerana sikap individu itu sendiri. Sikap itu yang sebenarnya harus diubah. Saya sendiri pernah melihat di negara lain seperti Taiwan, sungguhpun tiada sebuah tong sampah pun, di sana tetap tidak ada siapa yang membuang sampah merata-rata,” tegas mayor itu.

Katanya, seandainya tiada tong sampah, sampah itu haruslah disimpan sehinggalah menjumpai tong sampah.

Abidin berkata, kontraktor-kontraktor yang menjalankan kerja mereka juga tidak harus membuang sisa-sisa sampah kerja mereka sesuka hati mereka.

“Mereka wajib menjaga kebersihan kawasan tempat mereka bekerja. Mereka yang tidak mematuhi setiap peraturan kebersihan yang telah ditetapkan akan di kompaun berdasarkan undang-undang,” jelas beliau.

Tambah beliau, kontraktor-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di bawah DBKK juga turut akan dikenakan kompaun yang sama seandainya mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

“Tidak ada kompromi dalam membasmi kutu sampah walau di mana sekalipun. Namun, untuk mencapai matlamat itu, DBKK sentiasa memerlukan sokongan padu daripada masyarakat untuk terus mewujudkan persekitaran yang bersih bagi semua pihak,” jelas beliau.

Turut hadir adalah, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Pengerusi Puspanita Cawangan Bandaraya, Datin Rohayah Pawzy.


Sumber: New Sabah Times

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...