Wednesday, January 16, 2013

Hab pendidikan beri peluang anak-anak tempatan lanjut pelajaran

Posted by Smookiekins On 1/16/2013 03:23:00 PM

Hab pendidikan yang dibina oleh kerajaan atas ilham Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman akan memberi peluang kepada anak-anak muda di Sabah untuk melanjutkan pelajaran tanpa pergi ke tempat yang jauh.

“Dengan adanya pusat-pusat pengajian tinggi ini sudah tentu anak-anak kita tidak perlu lagi melanjutkan pelajaran ke tempat lain di Malaysia ataupun ke luar negara dengan belanja yang besar,” Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie KK Ajirol berkata demikian sema merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Sibugal Besar, kelmarin.

Juslie menjelaskan pembinaan hab pendidikan ini adalah satu usaha kerajaan dalam memastikan anak-anak muda di Sabah mendapat pendidikan yang sama dan mencapai matlamat pendidikan negara.

Dalam pada itu, Juslie yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Libaran berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyediakan peruntukan yang besar untuk pembangunan pendidikan negara.

“Kerajaan juga memberi pelbagai bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka ini tidak tercicir dari arus pembangunan pendidikan perdana,” katanya.

Beliau berkata jutaan ringgit setiap tahun dibelanjakan supaya matlamat pembangunan pendidikan negara tercapai.

Sementara itu, Juslie juga memberitahu beliau akan terus menghulurkan sumbangan kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan kecemerlangan pelajar-pelajar di sekolah dalam Parlimen Libaran.

“Saya akan terus membantu dan menghulurkan sumbangan melalui peruntukan khas yang saya ada sebagai wakil rakyat di Libaran,” tambah beliau.

Beliau menambah ini bertujuan memastikan aktiviti sekolah yang dirancang dilaksanakan demi kecemerlangan anak-anak di sekolah berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat juga saya memberi tumpuan kepada kecemerlangan anak-anak ini sama ada dalam akademik dan kemahiran yang mana mereka ini merupakan pewaris kepimpinan negara,” kata Juslie.



Sumber: New Sabah Times

Reactions:

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...