Thursday, December 27, 2012

Sedia persekitaran pembelajaran kondusif guna ICT

Posted by Smookiekins On 12/27/2012 07:25:00 AM
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin menyeru kepada pihak Pusat-Pusat Latihan Pertanian supaya menyediakan persekitaran pembelajaran bidang pertanian yang lebih kondusif dengan penggunaan teknologi ICT dan mekanisasi yang moden.

Katanya, hal ini penting supaya lebih ramai lagi golongan belia yang mampu bangun sebagai usahawan pertanian dapat dilahirkan.

“Selaras dengan perubahan semasa dan sebagai perancangan program latihan pada masa hadapan, penggunaan mekanisasi dan teknologi moden amat penting kepada para usahawan pertanian dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di dunia yang penuh persaingan ini,” kata Yahya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Pelatih Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu Ke-17 Dan Pengiktirafan Pengusaha Pertanian Cemerlang, di sini, kelmarin.

Selain itu, Yahya yang juga merupakan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan menyeru Jabatan Pertanian supaya menggunakan pendekatan ‘Strategi Lautan Biru’ dalam melaksanakan pelbagai program khususnya dalam pembangunan modal insan sama ada bekerjasama dengan sektor Kerajaan atau swasta.

“Sebagai contoh, penggunaan tenaga pengajar swasta dalam penyampaian latihan untuk modul-modul tertentu serta menghantar pelatih menjalani praktikal dan kerja sambil belajar di ladang-ladang swasta yang berdekatan,” katanya.

Hal ini kerana Kerajaan amat komited dalam usaha untuk memajukan sektor pertanian dan telah melihat sumbangan yang boleh diberikan oleh aktiviti-aktiviti pertanian lepas tuai yang meliputi pemprosesan yang boleh menghasilkan pelbagai produk bagi meningkatkan tambah nilai produk akhir, katanya.

Di samping itu katanya, produk dari aktiviti pemprosesan hasil-hasil pertanian ini juga boleh dipasarkan dengan lebih jauh lagi bagi menjana pendapatan yang cukup lumayan kepada pengusaha.

Katanya, peningkatan jumlah hasil pertanian dari masa ke semasa menandakan kesan daripada pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan komitmen berterusan pengusaha serta bimbingan daripada pegawai-pegawai yang bertungkus-lumus untuk merealisasikan hasrat Kerajaan.

“Saya berharap usahawan kita terus berusaha kuat untuk meningkatkan lagi perusahaan mereka dan menjadikan aktiviti peladangan pertanian dan perniagaan industri asas tani sebagai perniagaan yang sangat menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Penyampaian Sijil Pelatih Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu Ke-17 Dan Pengiktirafan Pengusaha Pertanian Cemerlang menyaksikan seramai 30 orang lulusan Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu, Pusat Latihan Pertanian Bersepadu, Putatan, menerima sijil tamat kursus dan seramai 74 orang usahawan pertanian menerima penganugerahan sijil pengiktirafan Pengusaha Pertanian Cemerlang.

Jelas Yahya, penganjuran Majlis yang bertemakan ‘Transformasi Pertanian Melalui Modal Insan Berinovasi’ ini, bersesuaian dengan usaha Kerajaan dalam menggiatkan lagi latihan kemahiran negara khususnya bagi latihan sektor pertanian dan industri asas tani.

Keperluan latihan untuk melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama yang berpengetahuan, berkemahiran dan berinovasi dalam bidang pertanian adalah selari dengan usaha Kementerian dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan jaminan makanan, seperti yang termaktub dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.

“Saya percaya usaha berterusan Jabatan Pertanian melalui Seksyen Pembangunan Usahawan Pertanian berkeupayaan mewujudkan golongan pengusaha pertanian yang berkemahiran, kreatif dan inovatif bagi melonjakkan lagi prestasi bidang agromakanan dalam negeri,” katanya.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

5 comments:

  1. Semua jabatan dan institusi2 memang wajar untuk menggunakan teknologi yang ada untuk berfungsi lebih efektif dan efisien.

    ReplyDelete
  2. Pertanian adalah perniagaan. semoga lebih ramai yang ceburi bidang ini.

    ReplyDelete
  3. bidang pertanian perlu kita ceburi, ia memberi byk keuntungan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bidang pertanian kalau diurus dengan baik memang menguntungkan

      Delete
  4. ICT sangat penting pada zaman ni

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...