Saturday, November 17, 2012

Tema Maal Hijrah perlu dihayati: Musa

Posted by Smookiekins On 11/17/2012 12:42:00 PM

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini yang bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ perlu dihayati dengan memfokuskan kepada usaha memantapkan perpaduan dan penyatuan ummah dengan pendekatan sederhana yang relevan dan sesuai dengan tuntutan semasa terutamanya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, pemantapan ukhuwah dan kesatuan ummah akan menyumbang kekuatan ummah yang boleh menunjangi pembangunan sesebuah negara.

“Apa yang pasti, kejayaan membangunkan sesebuah negara yang memiliki pelbagai bangsa dan agama seperti negara kita memerlukan penyertaan dan komitmen daripada seluruh lapisan rakyat,” kata Musa dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1434H/2012M, di Wisma Muis, di sini, kelmarin.

Katanya, hal ini bagi menjamin perkongsian manfaat pembangunan dinikmati secara saksama oleh semua bangsa dan agama, sekaligus mengelakkan berlakunya perbalahan yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan di kalangan masyarakat majmuk.

“Sesuai dengan gagasan ‘1Malaysia’ yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri dan menjadi amalan dan tradisi kita di Sabah selama ini, ia menyediakan ruang untuk seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, menyumbang dan berbakti untuk kesejahteraan, dan kemakmuran negara,” katanya.

Gagasan ini juga berupaya membentuk kesepakatan dan semangat keharmonian bagi memantapkan lagi perpaduan rakyat, katanya.

Justeru, sempena dengan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, Musa menyeru supaya masyarakat mengukuhkan perpaduan dan kerjasama bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi sesama rakyat Malaysia yang berlainan kaum dan agama.

“Kita amat bersyukur kerana rahmat pembangunan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita di negeri ini telah membolehkan kita menikmati kemajuan, keamanan dan kemakmuran,” katanya.

Namun, untuk memastikan keadaan ini berterusan, setiap rakyat mestilah mengikis sikap negatif dan berazam untuk mencapai matlamat hala tuju negeri dan mentransformasikan kemajuan negeri kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kita mestilah komited melakukan penambahbaikan serta nilai tambah dalam cara bekerja bagi memacu pembangunan negeri dalam pelbagai bidang,” katanya.

Hakikatnya, umat Islam hari ini mesti menyerap semangat Hijrah dengan menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan hidup bagi mengangkat martabat agama, ummah dan negara ke mercu kejayaan dan kegemilangan, katanya.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Haji Mahiruddin bersama Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Faridah Tussin, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Husin, Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1434H/2012M, Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran, Setiausaha Kerjaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, dan juga Menteri- Menteri Negeri.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

3 comments:

  1. berhijrahlah kepada yang lebih baik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penghijrahan kepada yang baik lebih membawa manfaat

      Delete
  2. sama2 kita melakukan lebih banyak kebaikan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...