Monday, October 22, 2012

Rosnah sangkal dakwaan Dasar Kabotaj perlahan dan sekat ekonomi Sabah

Posted by Smookiekins On 10/22/2012 01:01:00 PM

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyangkal dakwaan pakatan pembangkang kononnya Dasar Kabotaj yang diamalkan oleh kerajaan pusat memperlahankan dan menyekat pertumbuhan ekonomi Sabah.

Sambil mempersoalkan logik di sebalik dakwaan itu, Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar, Sabah berkata dasar yang mengutamakan perkhidmatan perkapalan tempatan itu sebenarnya bertujuan melindungi syarikat perkapalan tempatan dan secara langsung membawa kebajikan kepada rakyat dalam jangka panjang.

Katanya sekiranya dasar yang dilaksanakan sejak tahun 1980 itu dimansuhkan secara keseluruhan seperti yang dijanjikan pakatan pembangkang, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah ekonomi.

“Tanpa Dasar Kabotaj, tiada yang akan menghalang syarikat perkapalan asing daripada menguasai perairan kita ataupun membentuk pasaran oligopoly atau sebuah kartel yang akan menetapkan kadar harga perkhidmatan sesuka hati.

“Malah saya juga bersetuju, sekiranya perkara sebegini berlaku sudah tentu tidak baik untuk ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Rosnah mengulas cadangan pakatan pembangkang untuk menghapuskan dasar itu seperti yang dinyatakan pada Konvensyen Politik Baru Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Di bawah Dasar Kabotaj yang dilaksanakan pada 1 Jan, 1980, pengangkutan barang-barang dan penumpang dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain di Malaysia, termasuk di dalam kawasan zon ekonomi eksklusif hendaklah diangkut oleh kapal yang berdaftar dengan Malaysia dan mempunyai Lesen Perkapalan Dalam Negeri yang sah.

Rosnah berkata dasar itu yang diperkenalkan lebih 30 tahun lepas, baru-baru ini dipersalahkan oleh sektor industri dan komersil ke atas kos tinggi barangan di negeri itu walaupun ia sebahagiannya telah diliberalisasi oleh Kerajaan Pusat pada 2009.

Beliau berkata pembangkang juga dilihat terlalu yakin penghapusan dasar itu dan dengan adanya penghantaran terus, kos perkapalan dan harga barangan akan menjadi lebih murah kerana tidak melibatkan kos pemindahan kapal dari Pelabuhan Klang sedangkan mereka juga tidak pasti sama ada perkara itu akan benar-benar berlaku.

Katannya kerajaan tidak pernah menghalang kapal asing untuk terus membuat penghantaran ke Sabah, Sarawak dan Labuan seperti yang didakwa pembangkang, sebaliknya kapal-kapal asing berkenaan yang memilih untuk ke Pelabuhan Klang disebabkan faktor ekonomi syarikat atau terlalu banyak barang yang dihantar ke destinasi berbeza.

“Kenaikan harga barangan pengguna berpunca dari pelbagai sebab, antaranya dari tindakan mengaut keuntungan berlebihan sesetengah pihak, faktor geografi dalam negeri, jumlah penduduk berbanding semenanjung, ketidakcekapan perkhidmatan pemunggahan di pelabuhan, kos insurans marin, pengangkutan darat dan harga bunker yang mengikut kadar harga bahan api,” katanya.


Sumber: New Sabah Times


7 comments:

  1. Semoga isu dasar kabotaj akan mendapat penyelesaian yang baik, supaya tidak membebankan rakyat Sabah, Sarawak.

    ReplyDelete
  2. Tapi bajet 2013 yang diumumkan oleh PM kita juga akan membantu mengurangkan jurang harga barangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

    ReplyDelete
  3. appaun, kadar kabotaj kena dkaji semula.

    ReplyDelete
  4. Isu kabotaj menjadi isu utama pembangkang untuk menarik perhatian rakyat

    ReplyDelete
  5. Diharap masalah kabotaj dapat diselesaikan sebaik mungkin untuk rakyat

    ReplyDelete
  6. Sekiranya dasar kabotaj dimansuhkan secara keseluruhan seperti yang dijanjikan oleh pihak pembangkang, pelbagai masalah ekonomi berkemungkinan besar akan timbul.

    ReplyDelete
  7. Tanpa dasar kabotaj tiada yang akan menghalang syarikat perkapalan asing daripada menguasai perairan kita ataupun membentuk pasaran oligopoly atau sebuah kartel yang akan menetapkan kadar harga perkhidmatan sesuka hati mereka.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...