Monday, May 27, 2013

Pasaran getah dijangka terus jatuh

Posted by Smookiekins On 5/27/2013 09:58:00 AM

Pasaran getah Malaysia dijangka terus menyaksikan trend menurun minggu ini ekoran permintaan yang lemah dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kata seorang peniaga.

“Harga-harga berkemungkinan bergerak turun dalam lingkungan jajaran yang kecil,” kata beliau sambil menambah yang harga getah tempatan akan turut memantau pergerakan di Bursa Komoditi Tokyo.

Peniaga itu berkata yang permintaan juga dijangka perlahan dengan aktiviti pembuatan China pada bulan Mei agak lembap untuk pertama kalinya dalam tempoh tujuh bulan sejak Oktober, menurut kaji selidik awal oleh HSBC.

Berdasarkan kepada urus niaga Khamis-Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR20 naik lapan sen kepada 747 sen sekilogram sementara susu getah pukal menokok 4.5 sen kepada 595 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi untuk gred tayar SMR20 merosot 6.5 sen kepada 742 sen sekilogram dan susu getah pukal tidak berubah pada 592.5 sen sekilogram.

Pasaran getah tempatan ditutup pada hari Jumaat sempena cuti umum hari Wesak dan akan diniagakan semula pada hari Isnin.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...