Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak
menggesa Pakatan Rakyat memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang
bertanggungjawab dan menghormati keputusan rakyat yang memberikan
majoriti mudah kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) baru-baru ini.
Sambil menyifatkan Penasihat PKR Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai gila kuasa kerana tidak dapat menerima
kekalahan, beliau berkata Anwar tidak sepatutnya mempersoal keputusan
PRU13 dan kesahihan kerajaan persekutuan hari ini.
“Menang tetap
menang dan kita mengamalkan demokrasi. Dia (Anwar) tidak perlu
menggunakan orang muda untuk mengejar kepentingan peribadinya menjadi
perdana menteri, sebaliknya mendidik mereka dengan menekankan
prinsip-prinsip pilihan raya demokrasi di mana yang kalah mesti dapat
menerima yang menang.
“Kita perlu bergerak ke depan. Kita akan
bertarung sekali lagi pada pilihan raya akan datang, saya berpendapat
orang ramai sudah bosan dengan cara dia berpolitik. Sebenarnya BN tewas
di Kadamaian (kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Kota Belud), dan
kami menghormati keputusan dan tidak akan menganiaya
pengundi..sebaliknya, kami akan bekerja keras untuk menguasainya
semula,” katanya pada majlis kesyukuran sempena kemenangan BN di Dewan
Komuniti Kota Belud di sini kelmarin.
Turut hadir Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman
Dahlan, yang juga anggota Parlimen Kota Belud.
Salleh, yang juga
timbalan ketua perhubungan Umno Sabah dan Adun Usukan menegaskan bahawa
kerajaan BN sekarang adalah ‘kerajaan majoriti dan bukan kerajaan
minoriti”.
“Kita menerima demokrasi berasaskan kepada sistem
parti. Kerajaan minoriti bermakna tiada parti yang menang lebih daripada
separuh jumlah kerusi yang ditandingi. Pada pilihan raya baru-baru ini,
sudah jelas BN menang lebih daripada itu,” katanya.
Berhubung
cakap-cakap bahawa BN akan dibuka kepada keanggotaan langsung, beliau
berkata kempen itu perlu dipertingkatkan dengan satu pendekatan baharu
bagi memenangi hati pengundi muda dan bandar.
Sementara itu,
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud mengucapkan terima kasih
kepada pengundi yang memberikan mandat kepada BN untuk mentadbir negara
dan Sabah.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment