Wednesday, April 24, 2013

TOLAK PEMBANGKANG

Posted by Smookiekins On 4/24/2013 02:45:00 PM
KUALA PENYU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Sabah menjadikan pilihan raya umum 5 Mei ini sebagai medan untuk menolak pembangkang yang memutar belit isu keselamatan dan keamanan di Sabah sebagai satu sandiwara.

Najib menegaskan hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu memberi jaminan berhubung soal keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

“Rakyat Sabah harus menyatakan (tolak pembangkang) 5 Mei ini. Ini (kedaulatan Sabah) mesti dipertahankan kerana ia lebih besar daripada soal pembangunan, lebih besar daripada (janji) jalan tar yang dikotakan.

“...Ini bukan soal kerusi (kawasan) tapi soal maruah dan kedaulatan Sabah di bumi Malaysia yang BN berjanji tetap dipertahankan dengan nyawa sekalipun,” katanya ketika berucap pada majlis jerayawara Yayasan Sabah bersama rakyat di pekan Kuala Penyu di sini kelmarin.

Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 8,000 rakyat pelbagai lapisan itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga calon BN untuk Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, calon kerusi DUN Klias, Isnin Aliasneh dan calon muka baharu DUN Kuala Penyu, Limus Jury.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata rakyat Sabah tidak harus berfikir panjang dalam menilai pembangkang kerana mereka sebenarnya sudah bijak membuat pilihan.

“Peristiwa (pencerobohan pengganas di) Lahad Datu seharusnya jadi iktibar yang mana orang yang kemaruk kuasa dan mempersoal kedaulatan negara tidak boleh dibenarkan berjaya,” katanya.

Najib menarik perhatian bahawa kerajaan BN berjaya membawa kemakmuran menerusi program transformasi yang merupakan pendekatan lebih bermakna berbanding reformasi laungan pembangkang yang tidak membawa apa-apa kemajuan.

Sambil mengulangi manifesto BN lebih merupakan aku janji untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, beliau memuji manifesto tambahan BN Sabah yang turut mengandungi kad laporan kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan kad laporan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan.

Najib berkata kerajaan pusat juga akan memastikan peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah akan melebihi jumlah bayaran hasil royalti minyak yang diterima negeri ini.

“Apabila siap projek terminal minyak dan gas di Kimanis yang akan menjadi telaga pengeluar minyak, hasil minyak di Sabah akan bertambah…dan kerajaan pusat beri balik kepada rakyat Sabah dan lebih besar daripada 20 peratus royalti seperti dalam manifesto pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menekankan pentingnya sokongan padu diberi kepada BN oleh anggotanya dan supaya ia tidak dikhianati.

Merujuk kepada komponen tonggak BN iaitu Umno, beliau berkata: “Orang Umno (mesti) lebih sayang parti daripada individu yang mana matlamat dan prinsip perjuangan lebih mahal daripada kedudukan mana-mana individu.

“Rakyat akan menghukum dan melihat kebenaran di atas kesetiaan pemimpin mereka.”

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Jambatan Kuala Penyu yang menyeberangi Sungai Sitompok sepanjang 1.1 km bernilai RM60juta.

Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Beaufort Abdul Jarih Ukin, adik kepada penyandang kerusi Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin, bersama 200 anggota lain mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BN.

Kuala Penyu, antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Beaufort, dimenangi Teo Mau Sing (BN) dengan majoriti 257 undi pada pilihan raya lepas.

Pada pilihan raya kali ini, BN menampilkan calon muka baharu Limus yang berdepan empat calon lain termasuk dua Bebas.


Sumber : New Sabah Times 

9 comments:

  1. Barisan Nasional (BN) menggariskan enam faktor mengapa rakyat perlu terus memilih parti itu untuk menerajui kepemimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi memburu impian dan harapan rakyat serta negara.

    ReplyDelete
  2. Pertama, Malaysia memerlukan kerajaan stabil dan kuat bagi mempertahankan apa yang sudah dicapai dan meneruskan kesinambungan usaha kerajaan BN untuk kemakmuran negara.

    Kerajaan yang kukuh perlu untuk melaksanakan Agenda Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju.

    Selain itu, kerajaan BN terbukti berkhidmat untuk rakyat dan percaya kepada keadilan sosial dan menjadi inklusif, menyentuh hati nurani, meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat tanpa mengira keturunan dan agama.

    ReplyDelete
  3. Kedua, pencapaian kerajaan selama 55 tahun tidak boleh dinafikan dengan rekod BN sebagai parti yang mempunyai pencapaian mantap dengan menunaikan segala janji.

    Hasilnya, kerajaan diterajui BN membawa kemakmuran kepada setiap masyarakat dan rekod kecemerlangan ini akan diteruskan. Sehubungan itu sekarang bukan masa untuk membuat uji kaji demi masa depan rakyat.

    ReplyDelete
  4. Selain itu, BN sudah membuktikan keupayaan dengan sentiasa melakukan penambahbaikan dengan sepanjang empat tahun lalu banyak kemajuan besar dicapai untuk meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian.

    ReplyDelete
  5. Ketiga, BN berpengalaman menguruskan masyarakat pelbagai kaum agama dan budaya menerusi politik perpaduan yang diamalkan.

    BN juga sudah membuktikan kemampuan menghadapi cabaran dan mengharungi kesukaran dan berkali-kali berjaya keluar daripada kegetiran itu dengan lebih gagah.

    Parti gabungan dinamik ini berjaya menyesuaikan gerakan dengan perubahan landskap tetapi tidak pernah mengorbankan prinsip.

    ReplyDelete
  6. Keempat, BN mengamalkan perkongsian kuasa yang efektif dengan menolak politik benci membenci dan pecah-belah. BN menghormati dan menerima kepelbagaian agama.

    BN membina jambatan dan tidak merobohkannya. BN menentang eksploitasi kaum dan agama untuk keuntungan politik. Perpaduan membuahkan kekuatan, perpecahan pula hanya membawa kemusnahan.

    ReplyDelete
  7. Kelima, BN adalah gabungan pelbagai parti yang telah teruji. Selepas 55 tahun ia masih mewakili seluruh lapisan rakyat dari semua negeri di Malaysia.

    BN percaya kepada kesinambungan. Walaupun pemimpin datang dan pergi tetapi gabungan tetap utuh.

    Parti ini juga mengamalkan politik konsensus dan keterangkuman yang mengambil kira semua pendapat, semua suara didengar.

    ReplyDelete
  8. Keenam, BN berkongsi harapan dan aspirasi dan untuk itu, berusaha keras menjadikannya suatu kenyataan untuk semua.

    BN memperkasa rakyat. Peralihan yang terurus ke arah masyarakat progresif, moden dan demokratik dengan iltizam melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar.

    BN menepati Janji Membawa Harapan. Memacu rakyat dan negara ke tahap baharu kecemerlangan dan perkhidmatan berasaskan gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    ReplyDelete
  9. INFO: Enam faktor kena pilih BN

    Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat

    Rekod pencapaian

    Pengalaman

    Gerakan kesederhanaan

    Perkongsian kuasa telah teruji

    Memenuhi kehendak rakyat

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...