Monday, March 25, 2013

Pusat Kraftangan Sabah berjaya melatih 15,000 belia

Posted by Smookiekins On 3/25/2013 04:32:00 PM
SANDAKAN: Pusat Kraftangan Sabah di Keningau berjaya melatih kira-kira 15,000 anak-anak muda untuk mendalami industri kraftangan yang berpotensi dibangunkan sekali gus menyumbang pembangunan sosio-ekonomi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan matlamat Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi kerjasama erat oleh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) akan membantu meletakkan negeri ini sebagai pengeluar utama produk kraf.

Ini katanya, pusat yang bernilai RM30 juta ini diyakini akan berkembang maju memandangkan kecenderungan pelatihnya amat tinggi untuk menceburi industri itu apabila setiap aktiviti mendapat sambutan daripada golongan belia dan beliawanis.

“Sejak wujudnya pusat berkenaan ia telah memberikan banyak manfaat dan syabas kepada KYS atas inisiatif akhirnya berjaya merealisasikan matlamat bagi menjadikan industri kraftangan sebagai salah satu usaha menjana ekonomi penduduk setempat.

“Kita akan sentiasa membantu apatah lagi kerajaan Negeri menitikberatkan pembangunan industri yang mampu meningkatkan tahap ekonomi rakyat selari dengan hasrat kerajaan Negeri selama ini,” jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap di Majlis ‘Roadshow’ Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) sempena Program Transformasi KYS peringkat Zon Pantai Timur Utara di Dewan Serbaguna Sri Libaran, dekat sini, kelmarin.

Serentak itu, Musa selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata golongan belia dan beliawanis yang ingin mendalami pembuatan kraf boleh menambah kemahiran di pusat tersebut.

Menurutnya, pusat dibiayai oleh KYS ini sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan yang ingin memastikan ia terus berkembang maju dan boleh pergi jauh ke peringkat lebih tinggi.

“Kita bangga dengan kepekaan KYS sejak ditubuhkan sentiasa memikirkan pendekatan terbaik bagi membantu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar … peranan KYS sepertimana diamanahkan kerajaan Negeri telah memberi banyak manfaat.

“Bukan sahaja melibatkan industri-industri tertentu malahan dari segi pendidikan iaitu bantuan biasiswa telah memberi peluang kepada anak- anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat menara gading.

“Hari ini, ada yang menjadi doktor … jurutera … peguam dan macam-macam lagi. Tahniah kepada KYS atas usaha murni anda,” tegasnya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Musa yakin KYS sebagai institusi ulung di negeri ini akan berkembang pesat ekoran peranan yang dimainkannya telah membantu segenap lapisan masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan dan sosio budaya.

Katanya juga, KYS adalah perintis kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi apabila pendekatan murninya telah meningkatkan taraf hidup rakyat sejak sekian lama.

“Kita menyokong program-program Roadshow yang KYS laksana ini akan memberi ruang kepada institusi ini termasuk kalangan pemimpin untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Di samping itu, program sebegini akan dapat menyampaikan maklumat berkaitan rancangan pembanguna kepada rakyat,” ujar Musa.

Sementara itu, beliau meminta rakyat agar memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat dipertahankan di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, hanya BN sahaja mampu membawa pembangunan kepada rakyat jelata berbanding dengan pembangkang yang hanya tahu berjanji kosong demi kepentingan politik sempit.

“Kita perlu sebuah kerajaan yang kuat dan sentiasa menepati janjinya seperti BN apabila berjaya membela nasip rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya yakin negara khasnya negeri ini bukan saja jauh lebih membangun bahkan akan terus aman dan damai ekoran pendekatan drastik kerajaan yang akhirnya berjaya menangani dengan baik tragedi pencerobohan di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu,” tambahnya.

Hadir sama Pengarah KYS merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul; Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Tan Sri Haji Ampong Puyon; Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang En Yin; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Micheal Asang; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin serta Adun Sugut, Datuk Surady Kayong.

Adun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman; Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya; Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir. James Wong.
 
Source : New Sabah Times 

1 comment:

  1. moga ramai lagi belia yang mahir dalam kraftangan dilahirkan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...