Thursday, February 21, 2013

Jabatan Tanah hanya terima 615 kes tuntutan NCR

Posted by Smookiekins On 2/21/2013 04:59:00 PM
Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hanya menerima sebanyak 615 kes tuntutan Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) yang melibatkan seramai 1,164 penuntut dalam tempoh lebih kurang 15 tahun, bermula dari 1997 sehingga kini.

Menurut Pengarahnya, Datuk Osman Jamal, daripada jumlah berkenaan sebanyak 365 kes telah diluluskan, 70 kes ditolak manakala kes yang masih belum diselesaikan hanya berbaki 180 kes.

“Ini bermakna isu NCR ini bukanlah satu perkara yang besar seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak kerana sekarang ini kita hanya mempunyai sebanyak 180 kes sahaja yang masih belum diselesaikan atas beberapa permasalahan,” kata Osman sewaktu menyampaikan taklimat kepada para pegawai kanan Jabatan Penerangan Mengenai Isu Tanah di Sabah, di sini, kelmarin.

Katanya, permasalahan yang timbul hingga menyebabkan kes-kes NCR berkenaan belum dapat diselesaikan antara lain adalah mengenai pertindihan permohonan tanah.

Dalam pada itu, Osman menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa kerajaan mengetepikan hak anak negeri dalam pentadbiran tanah di Sabah.

Jelasnya, sehingga Disember 2012, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah mendaftar sebanyak 355, 564 geran komunal di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu sebanyak 54 peratus atau 192, 438 geran dimiliki oleh anak negeri.

“Jadi kalau kita (kerajaan) dikatakan tidak adil kepada anak negeri adalah tidak benar kerana anak negeri telah diberikan lebih 50 peratus dari jumlah keseluruhan geran tanah di Sabah,” katanya.

Dari segi keluasan, Osman menyatakan sebanyak 550,987 hektar tanah atau 26.83 peratus daripada 2.05 juta hektar tanah di seluruh Sabah yang diberikan geran oleh Kerajaan adalah milik anak negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa bertindak dengan adil dalam mempertimbangkan permohonan tanah oleh anak negeri.

“Dalam proses tuntutan mereka (anak negeri) boleh memilih sendiri peguam yang menguruskan permohonan dan mereka juga diberi kebebasan untuk memanggil seberapa banyak mana pun jumlah saksi,” katanya.

Selain itu, Jabatan Tanah dan Ukur juga memberi peluang rayuan kepada permohonan yang tidak diluluskan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan dibuat selain boleh terus merujuk kes ke mahkamah jika masih tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Tanah dan Ukur sentiasa berusaha mempercepatkan proses permohonan supaya lebih banyak tanah dapat diluluskan kepada anak negeri.

Antara tindakan yang diambil adalah dengan pelaksanaan ‘Unit Bergerak Pantas NCR’ bagi menyelesaikan isu NCR dikalangan penduduk Sabah terutamanya yang tinggal di pedalaman.

Katanya, unit bergerak yang bakal dilancarkan pada bulan depan ini merupakan sebuah pejabat bergerak yang dilengkapi dengan kemudahan asas pejabat seperti komputer dan juga modem internet dan membolehkan anak negeri mudah untuk merujuk tentang apa sahaja permasalahan mereka mengenai tanah.


Sumber: New Sabah Times

3 comments:

  1. moga smua kes dpt diselesaikan.

    ReplyDelete
  2. Hak dan kepentingan rakyat harus dijaga daripada pencerobohan dan rampasan pihak luar.

    ReplyDelete
  3. Baguslah kalau makin berkurangan kes yang melibatkan tanah NCR ni.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...