PASTINYA tidak keterlaluan jika mengibaratkan ‘Program Integrasi
1Malaysia’ bersama AirAsia umpama sebuah jambatan yang menyatukan
Masyarakat Borneo (Sabah dan Sarawak) dengan masyarakat di Semenanjung.
Program
yang berlangsung pada 5 hingga 7 Januari 2013 lalu ini melibatkan
seramai 50 delegasi dari Sabah dan 50 delegasi dari Sarawak yang terdiri
daripada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, delegasi media dan juga
pegawai pengiring.
Suasana di Lapangan Terbang Kota Kinabalu
(Terminal 2) menjadi begitu ceria dan indah di awal pagi itu apabila
para peserta datang lengkap berpakaian tradisi mereka yang berwarna
warni.
Walaupun terpaksa bersiap seawal jam 2 pagi namun,
kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka beserta senyuman yang
sentiasa terukir di bibir masing-masing.
Dari Kota Kinabalu ke
Kuching, Sarawak, kesemua delegasi ini diterbangkan pula dengan
menggunakan pesawat khas bagi menghadiri Majlis Pelancaran Program ini
di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Majlis Pelancaran Program Integrasi 1Malaysia ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Bertemu
dengan Perdana Menteri kesayangan negara itu merupakan satu peluang
yang dianggap terlalu istimewa bagi para peserta delegasi itu.
Dalam
Majlis itu, Najib menyatakan penghargaannya di atas usaha AirAsia yang
menganjurkan program ini bagi merapatkan perpaduan dan integrasi antara
masyarakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung itu.
Selepas melancarkan
‘livery’ khas pesawat 1Malaysia itu, Najib seterusnya menandatangani
ruangan khas di hadapan kabin dan menulis ‘Integrasi Nasional Melalui
1Malaysia Air Asia’ di atasnya.
Jadi, para penumpang pesawat
Airbus A320 yang menawarkan penerbangan percuma antara laluan Sabah,
Sarawak dan Semenanjung bermula pada 14 Januari hingga 4 Februari itu
akan berkesempatan menyaksikan tandatangan Pemimpin nombor satu negara
itu di ruangan hadapan pesawat.
Buat para delegasi, tiada apa yang
lebih bermakna melainkan dapat terbang di dalam satu pesawat bersama
dengan Perdana Menteri dan juga isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Seterusnya
pesawat yang dipandu oleh Kapten Ilyana Nazli Shah itu mendarat di
Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.
Delegasi seterusnya dibawa ke Automotif DRB-HICOM di Pekan dengan menaiki bas dan menikmati juadah makanan tengah hari di sana.
Selepas itu para delegasi dibawa pula untuk melawat kilang pemasangan Mercedes-Benz yang terletak di kawasan Pekan.
Program
Lawatan Intergrasi 1Malaysia ke Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu
Kampung Pulau Serai, Pekan. Kemuncak bagi acara pada petang itu, kesemua
delegasi mengunjungi Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Pulau
Serai, Pekan.
Di sana, para peserta diraikan dengan pelbagai
persembahan istimewa sambil menikmati juadah tempatan di sana yang
disediakan oleh para penduduk di Kampung itu.
Walau keletihan
setelah melalui seharian perjalanan, namun para delegasi tetap ceria dan
bergembira di Majlis tersebut apatah lagi telah dilayan dengan begitu
istimewa oleh pihak tuan rumah.
Difahamkan idea bagi projek Pusat
Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Pulau Serai ini dicetuskan sendiri
oleh Najib yang juga merangkap Ahli Parlimen Pekan.
Ia ditubuhkan
bertujuan mewujudkan perumahan bersepadu yang komprehensif bagi menaik
taraf hidup penduduk miskin di Daerah ini selain membantu penduduk
memperolehi pendapatan tambahan melalui aktiviti ekonomi di dalam
kawasan perumahan itu.
Selain dijamu dengan persembahan oleh para
penduduk, para delegasi juga tidak melepaskan peluang menunjukkan tarian
tradisional kebudayaan masing-masing.
Suasana menjadi gamat
apabila para penduduk dari Kampung itu turut sama menari tarian tradisi
masyarakat Sabah dan Sarawak selain peserta delegasi turut bersama
menari tarian Joget Pahang.
Dalam Majlis berkenaan, Ketua Delegasi
Sabah, Mohd Joh Wid, semasa berucap menyatakan Pekan telah menjadi
titik pertemuan bagi pelbagai suku kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak
bersama dengan masyarakat di sini dan mereka mampu duduk bersama dalam
suasana yang harmoni.
Mohd Joh turut memberitahu penduduk Pekan
bahawa Perdana Menteri, pemimpin kesayangan mereka, diterima baik oleh
seluruh masyarakat Sabah.
Sambil berterima kasih dan memuji usaha
AirAsia yang menganjurkan Program ini, Mohd Joh turut menyampaikan mesej
dengan berkata, “Semua kaum di Sabah hidup aman dan makmur di bawah
kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan akan terus
membangun di bawah sokongan Perdana Menteri bersama Timbalannya, Datuk
Seri Muhyiddin Yassin.”
Kenangan Manis Yang Dibawa Pulang
Peserta
delegasi ‘Program Integrasi 1Malaysia’ bersama AirAsia ternyata tidak
akan melupakan segala kenangan manis yang diperolehi sepanjang program
ini berlangsung.
Apa tidaknya, selain berkesempatan menaiki satu
pesawat bersama Perdana Menteri, melawat kawasan Parlimen pemimpin
kesayangan negara itu, mereka juga dijemput untuk melawat dan menikmati
hidangan tengah hari di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana,
Putrajaya.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sanggup
meluangkan masa menerima rombongan kami dan menunjukkan komitmen yang
tinggi sebagai pemimpin dan meraikan rakyat yang datang dari jauh ini,”
kata Saat Ag. Damit, wakil rombongan dari Sabah ketika berucap di Majlis
Makan Tengah Hari itu.
Jelasnya, penghormatan yang paling dirasai
adalah apabila Perdana Menteri dan isteri sendiri sanggup bersama dalam
penerbangan AirAsia ke Kuantan, Pahang.
“Komitmen ini jelas
menunjukkan gagasan rakyat didahulukan dapat dirasai oleh kami,” kata
Saat yang juga merupakan wakil dari Suku kaum Brunei.
Sambil
menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada AirAsia yang
telah menjayakan program ini, Saat berkata dalam konteks Sabah dan
Sarawak yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan, kedua-dua negeri ini
hanya dapat didekatkan dengan masyarakat di Semenanjung melalui sistem
penerbangan sahaja, dan itu pun hanya kepada mereka yang mampu.
“Sekiranya
tidak ada syarikat penerbangan seperti AirAsia yang prihatin dan
sanggup menaja Program ini sudah tentu integrasi tiga Wilayah besar ini
tidak dapat dicapai,” katanya.
Selain itu, menurut seorang wakil
dari Suku kaum Kokos, Syakirah Roland, yang berasal dari Tawau, melalui
Program seumpama ini, mereka dapat mengenali suku kaum di Sarawak dengan
lebih dekat.
“Sebelum ini, walaupun Sabah dan Sarawak berasal
dari satu Borneo, namun kami masih tidak mengetahui tentang adat dan
budaya masing-masing,” katanya sambil menyatakan peluang berkunjung ke
Pekan juga memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan
masyarakat di Semenanjung.
Hal ini turut diakui oleh rakannya,
Azlan Marasau, yang mewakili Suku kaum Bajau Semporna dengan menyatakan
ternyata masyarakat Semenanjung sangat berbudi dan ramah.
“Saya
akan pulang ke Sabah dan memberitahu rakan-rakan di sana bahawa
masyarakat di Semenanjung tidak seperti yang disangkakan sebelum ini dan
diharap segala sentimen perkauman yang pernah wujud antara kedua-dua
masyarakat ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Dalam pada itu,
Abdul Majad Halim yang mewakili Suku kaum Bajau Sama menyatakan rasa
terharunya kerana berpeluang menaiki satu pesawat bersama Perdana
Menteri dan isteri.
“Manalah kita mau (mahu) cari lagi Pemimpin seperti ini yang duduk satu kapal dengan rakyat, makan apa yang dimakan oleh rakyat.
“Juga
saya berasa amat terharu apabila dijemput untuk makan tengah hari di
Kediaman Rasmi Perdana Menteri, siapalah saya ini sehingga dilayan
dengan begitu baik sekali di sana,” katanya.
Sementara itu, wakil
dari Masyarakat Cina Sarawak, Temenggong Lu Kim Yong, menyatakan Program
ini merupakan satu peluang terbaik bagi ketiga-tiga masyarakat iaitu
dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk saling mengenali.
“Walaupun
kami semua berbeza keturunan, kaum, budaya dan juga tempat, namun siapa
sangka kami boleh menjadi kawan dan berjalan di sekitar Pahang dan
Kuala Lumpur bersama-sama,” katanya.
Juga, Lu berpendapat Malaysia
mempunyai seorang Perdana Menteri yang sangat prihatin terhadap nasib
rakyat terutamanya yang tiggal di Sabah dan Sarawak.
Oleh itu
katanya, semua peserta delegasi termasuk dirinya sendiri harus memainkan
peranan penting dengan menyampaikan mesej kepada penduduk di sana
bahawa Sabah dan Sarawak harus memilih Kerajaan yang sedia ada untuk
terus memerintah dan membawa negara ini ke mercu kejayaan di masa
hadapan.
Sumber: New Sabah Times
0 comments:
Post a Comment