Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Sri Haji Nasir Tun Sakaran,
meminta golongan ibu bapa tidak berlepas tangan untuk memastikan
anak-anak mereka menerima pendidikan yang sewajarnya sama ada di sekolah
mahupun semasa di rumah.
Katanya, peranan ibubapa dan guru perlu
seiring serta lebih proaktif memantau, mengasuh, mendidik dan membimbing
pelajar dan anak-anak mereka menjadi seorang warganegara yang
berpendidikan serta berwawasan.
Nasir berkata demikian sempena
merasmikan majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 2013 kepada
pelajar-pelajar SMK Tagasan, dekat sini.
Hadir sama sempena majlis
itu Pengetua SMK Tagasan, Choo Kok Kin; Wakil PPD Semporna, Ahmad Haji
Sapie; Pengerusi PIBG, Haji Buldahim; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Haji
Tahir Amir dan Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani.
Nasir
berkata, negara memerlukan rakyat yang berilmu serta berpendidikan
sebagai pemangkin kepada penerus kepimpinan masa depan negara yang
berkualiti serta mampu bersaing di peringkat global.
Sehubungan
itu, ibu bapa seharusnya tidak alpa membiarkan anak-anak mereka hanya
menerima pendidikan di sekolah semata sebaliknya hendaklah sentiasa
memantau anak-anak semasa berada di rumah.
Selain itu katanya,
mereka juga perlu memanfaatkan bantuan pendidikan yang diberikan kepada
pelajar untuk keperluan persekolahan.
Nasir menegaskan, kerajaan
sentiasa prihatin kepentingan rakyatnya dengan menyalurkan pelbagai
bantuan berlandaskan konsep 1Malaysia yakni mendahulukan kepentingan
rakyat serta mengutamakan pencapaian.
Beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, meminta rakyat terus
mengukuhkan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan.
Menurut
Nasir, tanpa perpaduan dan keamanan serta kemakmuran mustahil pelbagai
nikmat pembangunan mampu dicapai seperti apa yang dinikmati sejak
kerajaan Barisan Nasional memerintah negara ini.
Sempena majlis itu, lebih 1,000 pelajar menerima Bantuan Khas Pendidikan berjumlah RM100 setiap pelajar.
Sumber: New Sabah Times
pendidikan amt penting demi masa depan yang lebih baik.
ReplyDelete