Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin menyeru kepada pihak
Pusat-Pusat Latihan Pertanian supaya menyediakan persekitaran
pembelajaran bidang pertanian yang lebih kondusif dengan penggunaan
teknologi ICT dan mekanisasi yang moden.
Katanya, hal ini penting supaya lebih ramai lagi golongan belia yang mampu bangun sebagai usahawan pertanian dapat dilahirkan.
“Selaras
dengan perubahan semasa dan sebagai perancangan program latihan pada
masa hadapan, penggunaan mekanisasi dan teknologi moden amat penting
kepada para usahawan pertanian dalam menghadapi pelbagai cabaran dan
rintangan di dunia yang penuh persaingan ini,” kata Yahya ketika berucap
di Majlis Penyampaian Sijil Pelatih Kursus Kemahiran Pertanian
Bersepadu Ke-17 Dan Pengiktirafan Pengusaha Pertanian Cemerlang, di
sini, kelmarin.
Selain itu, Yahya yang juga merupakan Menteri
Pertanian Dan Industri Makanan menyeru Jabatan Pertanian supaya
menggunakan pendekatan ‘Strategi Lautan Biru’ dalam melaksanakan
pelbagai program khususnya dalam pembangunan modal insan sama ada
bekerjasama dengan sektor Kerajaan atau swasta.
“Sebagai contoh,
penggunaan tenaga pengajar swasta dalam penyampaian latihan untuk
modul-modul tertentu serta menghantar pelatih menjalani praktikal dan
kerja sambil belajar di ladang-ladang swasta yang berdekatan,” katanya.
Hal
ini kerana Kerajaan amat komited dalam usaha untuk memajukan sektor
pertanian dan telah melihat sumbangan yang boleh diberikan oleh
aktiviti-aktiviti pertanian lepas tuai yang meliputi pemprosesan yang
boleh menghasilkan pelbagai produk bagi meningkatkan tambah nilai produk
akhir, katanya.
Di samping itu katanya, produk dari aktiviti
pemprosesan hasil-hasil pertanian ini juga boleh dipasarkan dengan lebih
jauh lagi bagi menjana pendapatan yang cukup lumayan kepada pengusaha.
Katanya,
peningkatan jumlah hasil pertanian dari masa ke semasa menandakan kesan
daripada pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan
komitmen berterusan pengusaha serta bimbingan daripada pegawai-pegawai
yang bertungkus-lumus untuk merealisasikan hasrat Kerajaan.
“Saya
berharap usahawan kita terus berusaha kuat untuk meningkatkan lagi
perusahaan mereka dan menjadikan aktiviti peladangan pertanian dan
perniagaan industri asas tani sebagai perniagaan yang sangat
menguntungkan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Penyampaian Sijil
Pelatih Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu Ke-17 Dan Pengiktirafan
Pengusaha Pertanian Cemerlang menyaksikan seramai 30 orang lulusan
Kursus Kemahiran Pertanian Bersepadu, Pusat Latihan Pertanian Bersepadu,
Putatan, menerima sijil tamat kursus dan seramai 74 orang usahawan
pertanian menerima penganugerahan sijil pengiktirafan Pengusaha
Pertanian Cemerlang.
Jelas Yahya, penganjuran Majlis yang
bertemakan ‘Transformasi Pertanian Melalui Modal Insan Berinovasi’ ini,
bersesuaian dengan usaha Kerajaan dalam menggiatkan lagi latihan
kemahiran negara khususnya bagi latihan sektor pertanian dan industri
asas tani.
Keperluan latihan untuk melahirkan modal insan yang
memiliki minda kelas pertama yang berpengetahuan, berkemahiran dan
berinovasi dalam bidang pertanian adalah selari dengan usaha Kementerian
dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan jaminan makanan, seperti
yang termaktub dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.
“Saya
percaya usaha berterusan Jabatan Pertanian melalui Seksyen Pembangunan
Usahawan Pertanian berkeupayaan mewujudkan golongan pengusaha pertanian
yang berkemahiran, kreatif dan inovatif bagi melonjakkan lagi prestasi
bidang agromakanan dalam negeri,” katanya.
Sumber: New Sabah Times
Semua jabatan dan institusi2 memang wajar untuk menggunakan teknologi yang ada untuk berfungsi lebih efektif dan efisien.
ReplyDeletePertanian adalah perniagaan. semoga lebih ramai yang ceburi bidang ini.
ReplyDeletebidang pertanian perlu kita ceburi, ia memberi byk keuntungan.
ReplyDeleteBidang pertanian kalau diurus dengan baik memang menguntungkan
DeleteICT sangat penting pada zaman ni
ReplyDelete