Tuesday, December 18, 2012

MyTKDL mekanisme baru perlindungan harta intelek

Posted by Smookiekins On 12/18/2012 01:17:00 PM

Malaysia Traditional Knowledge Digital Library (MyTKDL) memberi mekanisma baru terhadap perlindungan yang sewajarnya ke atas Pengetahuan Tradisi (TK) dan Sumber Genetik (GR) di Malaysia, kata Ketua Pengarah Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Dato’ Azizan Mohamad Sidin.

Katanya, setakat ini sebanyak 1,443 data tumbuhan telah berjaya dimuatnaik di dalam MyTKDL hasil daripada sumbangan agensi-agensi yang terlibat.

“Jumlah data berkenaan melibatkan sebanyak 1,090 data yang diberikan oleh LESTARI-Universiti Kebangsaan Malaysia, 77 data dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), 50 data dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 37 data dari Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan sebanyak 189 data dari negeri Sarawak,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyTKDL antara MyIPO dan Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), di sini, kelmarin.

Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Joseph Guntavid dan Pengerusi MyIPO Dato’ Abdul Manan Ismail.

Di samping itu, dengan adanya MoU antara MyIPO dan Kerajaan Negeri Sabah melalui SaBC ini data-data yang berkait rapat dengan Pengetahuan Tradisi (TK) dan Sumber Genetik (GR) akan dimasukkan ke dalam MyTKDL berlandaskan kod klasifikasi paten.

Katanya, Pegawai Pemeriksa Paten akan mendapat akses kepada maklumat yang akan memudah dan meningkatkan lagi kualiti dalam pemeriksaan dan pemberian paten biosains dan biodiversiti.

Dalam aspek memantapkan pangkalan data MyTKDL, MyIPO akan memasukkan data-data baru seperti Data Perubatan Tradisional Melayu daripada Perpustakaan Negara Malaysia dan Traditional Complementary Medicin (TCM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, katanya.

“Oleh itu, lebih banyak perjanjian persefahaman akan dijalin antara penyumbang-penyumbang data untuk memastikan MyTKDL berperanan sebagai bankdata kebangsaan TK dan GR yang lengkap,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah SaBC, Dr. Abdul Fatah Amir, MoU ini amat penting kepada Sabah yang kaya dengan TK dan GR.

Katanya, sistem perlindungan ini akan merangkumi beberapa komponen berbentuk program atau aktiviti dan juga dalam bentuk peraturan yang diwartakan.

“Di antara komponen-komponen utama perlindungan itu ialah pewartaan Peraturan-Peraturan Biodiversiti Sabah (Akses dan Perkongsian Faedah) yang kini dalam proses pewartaannya,” katanya.

Katanya, ia juga dapat meningkatkan penerapan kesedaran masyarakat tempatan terhadap kepentingan perlindungan TK yang berkaitan GR daripada penyelewengan penggunaan oleh sesetengah pihak.

Juga katanya, projek ini juga bertujuan menyerlahkan dan mendedahkan potensi sumber-sumber biologi Sabah bagi tujuan pengkomersilan.


Sumber: New Sabah Times

5 comments:

  1. Dengan kemajuan teknologi, tiada suatu pun yang akan mustahil.

    ReplyDelete
  2. Semoga potensi sumber-sumber biologi Sabah bagi tujuan pengkomersilan dapat diserlahkan dan didedahkan.

    ReplyDelete
  3. Bagus tu, kecanggihan pasti memberi kemanfaat kepada kita

    ReplyDelete
  4. Semua data-data harus disimpan dengan selamat dan senang dicari semula

    ReplyDelete
  5. kita harus pastikan harta intelek kita dilindungi.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...