Tuesday, December 18, 2012

Faktor penting jamin koperasi pengurusan bertanggungjawab

Posted by Smookiekins On 12/18/2012 01:23:00 PM

Faktor penting bagi menjamin sesebuah koperasi ialah kepimpinan dan pengurusan yang bertanggungjawab dalam urusan mentadbir dan mengurus sesebuah koperasi.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Pairin Kitingan, berkata para pemimpin koperasi perlu merancang dan menilai aktiviti perniagaan yang sesuai dan boleh membawa keuntungan kepada koperasi tanpa mengabaikan matlamat utama koperasi iaitu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi anggota-anggotanya.

Katanya, para anggota koperasi juga perlu mengetahui dan mematuhi perundangan koperasi yang terkandung dalam Akta Koperasi 1993, Peraturan-Peraturan Koperasi 2010 dan Garis Panduan SKM, supaya koperasi tidak tergelincir dari landasan yang betul.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian semasa berucap merasmikan Mini Karnival Majlis Perundingan Koperasi Parlimen P.180 Keningau yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini kelmarin.

Beliau berkata, di bawah Dasar Koperasi Negara (DKN 2011 -2020 terdapat lima bidang keberhasilan utama aktiviti ekonomi koperasi yang telah dikenalpasti seperti perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani dan perladangan.

Katanya, di setiap bidang berkenaan pelbagai peluang perniagaan yang terbuka kepada koperasi untuk menceburinya.

“Kerajaan berhasrat agar budaya berkoperasi ini akan meliputi segenap lapisan rakyat, khususnya di negeri Sabah dan amnya di Malaysia. Kita amat menggalakkan penubuhan koperasi agar sasaran untuk melihat 50 peratus rakyat negara ini menganggotai koperasi menjelang 2020 seperti yang digariskan oleh DKN 2011- 2020 akan tercapai” katanya.

Tambahnya, kejayaan ini sekali gus dipercayai mampu merealisasikan usaha dan hasrat kerajaan untuk melihat koperasi menyumbang sekurang-kurangnya 3 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2012 dan 10 peratus pada tahun 2020.

Dalam masa yang sama Pairin berkata, setakat 30 November 2012 data statistik perkembangan koperasi di bawah seliaan SKM Keningau yang meliputi Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan terdapat 135 buah koperasi yang berdaftar dengan jumlah keanggotaan lebih 28,000.


Sumber: New Sabah Times

5 comments:

  1. Pengurusan yang baik akan memastikan tidak berlaku masalah dalam urustadbir koperasi termasuklah kewangan mereka.

    ReplyDelete
  2. Setiap anggota koperasi perlu bekerjasama untuk memastikan koperasi beroperasi tanpa sebarang masalah.

    ReplyDelete
  3. Perancangan yang baik pasti memberi hasil yang memuaskan

    ReplyDelete
  4. berminat untuk berniaga mungkin boleh bermula daripada koperasi

    ReplyDelete
    Replies
    1. koperasi dpt membantu para peniaga.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...