Monday, May 27, 2013

SPR sedia berdepan dakwaan

Posted by Smookiekins On 5/27/2013 09:18:00 AM
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia berdepan sebarang dakwaan berkaitan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila calon dan parti politik bertanding dibenarkan memfailkan petisyen atau bantahan masing-masing untuk tempoh 21 hari, berakhir pertengahan Jun ini.


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata sama ada calon atau parti politik Barisan Nasional (BN), pakatan pembangkang atau BEBAS, pihaknya akan tetap menghadapi situasi itu dengan berhujah berasaskan bukti yang ada di mahkamah.

“Saya sendiri berminat nak tahu daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri, keputusan di kawasan mana yang akan dipertikaikan menerusi petisyen itu.



“Bagi yang mempertikaikan keputusan PRU lalu itu, menjadi tanggungjawab mereka untuk mengumpul bahan bukti bagi mempertahankan hujah nanti sebagai plaintif, begitu juga SPR sebagai defendan,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.


Perlu selesai dalam tempoh enam bulan

Kelmarin, Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria berkata semua petisyen dikemukakan parti politik yang bertanding pada PRU-13 perlu didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia difailkan.


Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua hakim untuk melaksanakan tanggungjawab dengan minda yang bebas tanpa dipengaruhi desakan mana-mana pihak.

Pada 23 Mei lalu, SPR mewartakan keputusan rasmi PRU-13 yang berlangsung 5 Mei lalu, bagi membolehkan calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan mempunyai 21 hari untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.


Berikutan itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata parti itu akan memfailkan 27 petisyen terhadap keputusan PRU-13 di mahkamah selepas SPR mewartakan keputusan PRU-13.

Wan Ahmad berkata, sebagai responden kepada petisyen yang dikemukakan itu, SPR sudah bersedia dengan jawapan kerana setiap kawasan pilihan raya dikendalikan secara sama rata dan seragam.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR sebagai peguam bela,” katanya.

Beliau juga menjangka jumlah petisyen kali ini lebih banyak berdasarkan kenyataan dikeluarkan kepemimpinan pembangkang berhubung proses pengendalian pilihan raya baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, SPR menerima sebarang bentuk bantahan yang dikemukakan sama ada calon atau parti politik kerana mereka berhak berbuat demikian jika tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya lalu itu. 


Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...