Tuesday, May 28, 2013

Perpaduan dan persefahaman kunci utama kekal keamanan

Posted by Smookiekins On 5/28/2013 08:54:00 AM
Perpaduan dan persefahaman di antara masyarakat berbilang kaum kunci utama bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini.

Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, semangat perpaduan di antara kaum di negara ini perlu dipelihara dan dikekalkan untuk memastikan hasrat negara tercapai melalui semangat Konsep 1Malaysia.

“Semua kaum tidak ada yang di pinggirkan atau disisihkan oleh kerajaan yang ada hari ini kerana setiap perayaan akan disambut bersama-sama tanpa mengira bangsa, agama dan sosiobudaya masyarakat berkenaan.

“Selain sebagai platform untuk menyatukan semua kaum, sambutan pesta Kaamatan ini juga mampu untuk mempromosikan adat dan budaya masyarakat yang berbilang kaum di negara ini khususnya bagi masyarakat KadazanDusun dan Murut.

“Perpaduan dan persefahaman ini juga perlu ada di kalangan masyarakat bagi meneruskan kelangsungan agenda pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2013 Peringkat Daerah Kecil Kemabong, di Dewan Sri Ontoros, pada Sabtu lalu.

Beliau turut menyeru masyarakat di daerah ini agar mengekalkan semangat muhhibah dan kesefahaman sesuai dengan tema sambutan pesta Kaamatan tahun ini yang bertemakan ‘Kekalkan Muhhibah dan Kesefahaman Menerusi Pesta Kaamatan’.

“Jangan jadikan medan politik sebagai halangan untuk kita disatukan melalui semangat perpaduan yang ada sehingga ada pihak-pihak tertentu cuba untuk mengetengahkan sesuatu isu yang boleh memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, pelbagai acara menarik diadakan seperti persembahan koir, tarian tradisisonal, persembahan nyanyian oleh pemenang Sugandoi dan pertandingan Unduk Ngadau.

Hadir Sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Fredian Gan, pegawai-pegawai kerajaan dan para pemimpin masyarakat.

Sementara itu dalam pertandingan Unduk Ngadau Sempena Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan 2013 Peringkat Daerah Kecil Kemabong telah di menangi oleh Sofeviadick Benedek, 18, Tempat Kedua, Vera Precila Sarag, 22, dan Tempat Ketiga, Natasha Mathew, 18, (kiri).Manakala Miss Popular telah dimenangi oleh Amanda Ng Fui Ne, 19.

Pemakaian Mahkota Ratu telah disempurnakan oleh Datin Nuriah Hj.Ibrahim isteri kepada Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...