Monday, May 27, 2013

Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa Pakatan Rakyat memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab dan menghormati keputusan rakyat yang memberikan majoriti mudah kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Sambil menyifatkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gila kuasa kerana tidak dapat menerima kekalahan, beliau berkata Anwar tidak sepatutnya mempersoal keputusan PRU13 dan kesahihan kerajaan persekutuan hari ini.

“Menang tetap menang dan kita mengamalkan demokrasi. Dia (Anwar) tidak perlu menggunakan orang muda untuk mengejar kepentingan peribadinya menjadi perdana menteri, sebaliknya mendidik mereka dengan menekankan prinsip-prinsip pilihan raya demokrasi di mana yang kalah mesti dapat menerima yang menang.

“Kita perlu bergerak ke depan. Kita akan bertarung sekali lagi pada pilihan raya akan datang, saya berpendapat orang ramai sudah bosan dengan cara dia berpolitik. Sebenarnya BN tewas di Kadamaian (kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Kota Belud), dan kami menghormati keputusan dan tidak akan menganiaya pengundi..sebaliknya, kami akan bekerja keras untuk menguasainya semula,” katanya pada majlis kesyukuran sempena kemenangan BN di Dewan Komuniti Kota Belud di sini kelmarin.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang juga anggota Parlimen Kota Belud.

Salleh, yang juga timbalan ketua perhubungan Umno Sabah dan Adun Usukan menegaskan bahawa kerajaan BN sekarang adalah ‘kerajaan majoriti dan bukan kerajaan minoriti”.

“Kita menerima demokrasi berasaskan kepada sistem parti. Kerajaan minoriti bermakna tiada parti yang menang lebih daripada separuh jumlah kerusi yang ditandingi. Pada pilihan raya baru-baru ini, sudah jelas BN menang lebih daripada itu,” katanya.

Berhubung cakap-cakap bahawa BN akan dibuka kepada keanggotaan langsung, beliau berkata kempen itu perlu dipertingkatkan dengan satu pendekatan baharu bagi memenangi hati pengundi muda dan bandar.

Sementara itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan mandat kepada BN untuk mentadbir negara dan Sabah.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...