Tuesday, May 28, 2013

Nokia lancar telefon pintar RM295.76

Posted by Smookiekins On 5/28/2013 09:54:00 AM
Gergasi telefon mudah alih Finland Nokia semalam melancarkan telefon pintar skrin sesentuh bernilai AS$99 (RM295.76) dalam usaha meraih jualan di India dan pasaran baru muncul lain.

Ketua Eksekutifnya, Stephen Elop memperkenalkan Asha 501 di New Delhi, dengan menyasar pengguna yang ingin beralih daripada telefon bimbit ringkas yang mana beliau yakin model itu akan “merubah arah aliran segmen telefon mampu milik”. 

Elop berkata, penganalisis mengunjurkan telefon pintar murah dengan sambungan internet itu bakal meraih pasaran global bernilai AS$40 bilion (RM119.5 bilion), menjelang 2015.

Penganalisis mencadangkan masa depan bekas peneraju telefon bimbit itu mungkin bergantung kepada telefon pintar bajet dalam pasaran baru muncul yang kini tumbuh pantas seperti India, Afrika dan beberapa bahagian Amerika Latin yang mana penembusan pengguna masih lemah.

“Pemain global melihat peluang pada paras harga di bawah AS$100 (RM298.75) yang mana terdapat jumlah jualan yang besar,” kata perunding telekom bebas New Delhi, Kunal Bajaj.

Asha 501 yang membawa maksud harapan

‘Asha’ dalam bahasa Hindi, meminjam beberapa rekaan daripada spesifikasi telefon lebih maju Nokia, Lumia yang berasaskan pemproses Windows. Ia akan dihantar kepada pengedar mulai Jun dan ditawarkan di 90 negara. 


Peluang luas

“Terdapat peluang meluas bagi telefon di bawah AS$100 di India dan pasaran baru muncul lain, yang mana harga itu pastinya menarik bagi pengguna,” kata Anshul Gupta, penganalisis Gartner.

Hanya 10 peratus jualan telefon di India tahun lalu membabitkan telefon pintar, tetapi segmen itu dijangka tumbuh antara 45 hingga 50 peratus tahun ini, kata Gupta.

Gupta menyifatkan telefon itu yang menawarkan 17 jam waktu bercakap sebagai penting dalam negara seperti India dengan masalah tenaga kronik, yang mana ia memberikan “perubahan pengalaman penggunaan” dan berkata, ia meningkatkan ciri telefon pada harga bawah AS$100.

Elop bermesyuarat di Helsinki awal minggu ini dengan pemegang saham yang tidak berpuas hati dengan kerugian pendapatan Nokia. Beliau berkata, India adalah “petunjuk” bagi kemahuan dalam kalangan pengguna baru.

“Pengguna di India memikirkan rekaan cantik, banyak ciri kebolehan,” kata penganalisis Bajaj.


Sumber: Berita Harian
Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...