Thursday, April 25, 2013

Sebanyak 423 aktiviti kempen sempena PRU13 di seluruh Sabah

Posted by Smookiekins On 4/25/2013 03:13:00 PM

KOTA KINABALU: Sebanyak 423 aktiviti berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijalankan di seluruh Sabah mulai hari penamaan calon pada 20 April lalu hingga kelmarin.

Menurut Jurucakap untuk Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bagiPRU-13, Supt. Mohd Azhar Hamin, jumlah aktiviti berkempen itu termasuk 217 ceramah, 117 kempen-kempen atau majlis politik, sebanyak 35 perjumpaan, 24 kempen dari rumah ke rumah, sebanyak 16 ceramah bergerak atau lawatan dan lain-lain lagi.

“Dalam pada itu, pihak polis menerima sebanyak sembilan laporan dalam tempoh dua hari iaitu dari 20 hingga 24 April dan dari jumlah berkenaan sebanyak lapan kertas siasatan telah pun dibuka dengan melibatkan dua kes ugut jenayah, satu kes di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan, satu kes bakar bendera dan tiga kes melakukan ceramah tanpa permit,” kata Azhar dalam sesi sidang media sempena PRU-13, di IPK Sabah, di sini, kelmarin.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini, katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis mengakui masih terdapat segelintir parti yang bertanding dalam PRU-13 ini menganjurkan ceramah-ceramah dan kempen tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Sekali lagi ditekankan bahawa parti-parti yang bertanding haruslah bersikap lebih matang dan profesional dengan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan khususnya dalam kempen pilihan raya,” katanya Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan.

Begitu juga diingatkan kepada penyokong parti serta petugas-petugas dalam kempen PRU daripada parti-parti yang bertanding agar dapat memainkan peranan mereka dengan lebih profesional semasa tempoh berkempen ini,

“Jangan cuba melakukan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan serta permusuhan di kalangan parti yang bertanding,” katanya.

Sementara itu, Azhar turut memaklumkan bahawa kes di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dinyatakan itu melibatkan pertelingkahan antara dua orang bersaudara yang berpunca daripada perbezaan fahaman politik.

Katanya, pada 23 April lalu di Lorong Haji Nor, Kunak, suspek seorang lelaki telah menendang pengadu yang juga seorang lelaki di bahagian pinggang.

“Suspek kemudiannya mengambil kayu sepanjang satu meter setengah dan menyerang pengadu dan rakannya sebelum datangnya seorang orang kampung yang menghalang suspek dari menyerang pengadu,” katanya.

Walau bagaimanapun pengadu tidak mempunyai sebarang kecederaan dan kertas siasatan telah pun dibuka.

Sumber : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...