Saturday, March 2, 2013

Bajet pembangkang tidak relevan

Posted by Smookiekins On 3/02/2013 11:58:00 AM

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Haji Sairin Haji Karno berkata, bajet pembangkang tidak relevan dan tidak boleh diterima oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam pentadbiran kewangan.

Katanya, bajet pembangkang itu adalah mustahil dan bajet seorang yang tidak ada pengalaman memerintah seperti komen bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed.

“Bajet pembangkang ini tidak relevan dan kalau itulah bajet mereka, negara akan bankrap. Jadi saya fikir rakyat perlu menolak pembangkang kerana bajet yang mereka kemukakan pun tidak boleh diterima oleh mereka yang kepakaran dalam bidang menilai pentadbiran kewangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Skim Usahawan Teknikal (SUT) Siri VIII anjuran Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco) di Hotel Perkasa di sini kelmarin.

Seramai 21 peserta di seluruh negeri menyertai kursus tersebut yang berlangsung selama 6 hari.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan berkata, wajarlah rakyat menolak pembangkang pada pilihan raya akan datang, kerana kalaulah pembangkang ini memerintah akhirnya kerajaan akan muflis dan yang rugi adalah rakyat dan negara akan huru hara.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya Umno Bahagian Keningau Sairin berkata, Umno Bahagian ini sudah lama bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Katanya, Umno sudah lama bersedia pertengahan tahun lepas dan sekarang hanya tinggal memperkukuhkan saja.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya dan kalau pilihan raya diadakan pada bila-bila masa pun, saya ingat di kawasan ini kita masih mampu memberi tentangan yang baik kepada siapa-siapa yang melawan kita dan saya berani mengatakan, kalau pilihan raya diadakan BN terutama di Pedalaman masih dapat mempertahankan kedudukan mereka di setiap DUN dan Parlimen di kawasan ini,” jelas Sairin.

Menjawab soalan lain Sairin yang merupakan Ketua Umno Bahagian Keningau berkata, pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa.

“Mereka boleh cakap menaikkan emosi rakyat tetapi pada realitinya tiada apa-apa mereka buat. Jadi pada saya rakyat kita bijak, mereka tahu menilai berdasarkan pada sumbangan BN, yang walaupun barangkali tidaklah seratus peratus tapi telah mencapai 95 peratus,” katanya.

Justeru itu katanya, wajarlah rakyat di pedalaman ini masih mengekalkan kerajaan yan ada kerana kerajaan yang ada telah pun membuktikan komitmen mereka menunaikan janji walaupun ada juga projek-projek kecil sedang menunggu peruntukannya.

Sairin yakin bahawa rakyat akan memilih sekali lagi BN untuk mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi.

Sementara itu Pengurus Besar Sedcovest Jusli Potoh Sementara berkata, setakat ini pihaknya melaksanakan lebih 30 jenis kursus kepada para peserta antaranya ialah dalam sektor pelancongan, perkhidmatan, pembuatan, memproses makanan dan kontraktor.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...