Tuesday, January 29, 2013

Golongan ibu bapa perlu pastikan anak-anak terima pendidikan

Posted by Smookiekins On 1/29/2013 04:33:00 PM

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Sri Haji Nasir Tun Sakaran, meminta golongan ibu bapa tidak berlepas tangan untuk memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang sewajarnya sama ada di sekolah mahupun semasa di rumah.

Katanya, peranan ibubapa dan guru perlu seiring serta lebih proaktif memantau, mengasuh, mendidik dan membimbing pelajar dan anak-anak mereka menjadi seorang warganegara yang berpendidikan serta berwawasan.

Nasir berkata demikian sempena merasmikan majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 2013 kepada pelajar-pelajar SMK Tagasan, dekat sini.

Hadir sama sempena majlis itu Pengetua SMK Tagasan, Choo Kok Kin; Wakil PPD Semporna, Ahmad Haji Sapie; Pengerusi PIBG, Haji Buldahim; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Haji Tahir Amir dan Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani.

Nasir berkata, negara memerlukan rakyat yang berilmu serta berpendidikan sebagai pemangkin kepada penerus kepimpinan masa depan negara yang berkualiti serta mampu bersaing di peringkat global.

Sehubungan itu, ibu bapa seharusnya tidak alpa membiarkan anak-anak mereka hanya menerima pendidikan di sekolah semata sebaliknya hendaklah sentiasa memantau anak-anak semasa berada di rumah.

Selain itu katanya, mereka juga perlu memanfaatkan bantuan pendidikan yang diberikan kepada pelajar untuk keperluan persekolahan.

Nasir menegaskan, kerajaan sentiasa prihatin kepentingan rakyatnya dengan menyalurkan pelbagai bantuan berlandaskan konsep 1Malaysia yakni mendahulukan kepentingan rakyat serta mengutamakan pencapaian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, meminta rakyat terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan.

Menurut Nasir, tanpa perpaduan dan keamanan serta kemakmuran mustahil pelbagai nikmat pembangunan mampu dicapai seperti apa yang dinikmati sejak kerajaan Barisan Nasional memerintah negara ini.

Sempena majlis itu, lebih 1,000 pelajar menerima Bantuan Khas Pendidikan berjumlah RM100 setiap pelajar.


Sumber: New Sabah Times
Reactions:

1 comment:

  1. pendidikan amt penting demi masa depan yang lebih baik.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...