Wednesday, August 28, 2013

Sambutan Ambang Merdeka bakal jadi tumpuan warga bandaraya K. Kinabalu

Posted by Smookiekins On 8/28/2013 03:38:00 PM
Ribuan warga bandaraya Kota Kinabalu dijangka akan menyaksikan sambutan Ambang Merdeka yang akan diadakan di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu pada malam 30 Ogos ini.

Mayor Bandaraya Datuk Abidin Madingkir berkata, pelbagai acara telah disusun untuk memeriahkan lagi sambutan itu, antaranya perarakan tanglung, perarakan kereta berhias dan persembahan artis-artis tempatan.

“Kita berharap warga bandaraya datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi sambutan Ambang Merdeka sekaligus menunjukkan kesetiaan kita kepada negara selain memberi peluang kepada kita untuk menghayati erti kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Dewan Masyarakat, di sini, kelmarin.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab dalam Hal Ehwal DBKK Datuk Edward Yong dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Abu Bakar Hassan.

Hadir sama Pesurujaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu Soepeno Sahid dan isteri, isteri Mayor Datin Florence Malangkig, Ketua Pengarah DBKK Datuk Yeo Boon Hai dan isteri Datin Rohayah Pawzy dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan DBKK.

Abidin turut menyeru pemilik bangunan dan para peniaga di sekitar bandaraya supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sebagai tanda bersyukur di atas kemakmuran dan keamanan negara khususnya bandaraya Kota Kinabalu.

“Walaupun kita telah mengagih-agihkan bendera Sabah dan Jalur Gemilang namun masih ramai yang tidak mengibarkan bendera di premis masing-masing.

“Oleh itu saya berharap para peniaga dan pemilik bangunan dapat memberikan kerjasama untuk mengibarkan bendera di premis masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, bandaraya akan menyaksikan dua acara penting sempena sambutan Hari Kemerdekaan iaitu Perbarisan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di Kompleks Sukan Likas dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Taman Prince Philip Tanjung Aru.

Mengenai tahap pembangunan di bandaraya Kota Kinabalu selepas negeri ini mencapai kemerdekaan, Abidin berkata terdapat perbezaan ketara terutamanya dari segi pembangunan.

“Dahulu Kota Kinabalu hanya pekan kecil tetapi kini menjadi sebuah bandaraya yang pesat membangun dan menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kalau kita lihat di sekeliling kita, banyak bangunan kini tersergam indah yang menjadi mercu tanda kejayaan bandaraya ini. Begitu juga dengan aktiviti perniagan yang kini semakin berkembang maju,” katanya.

Berkenaan dengan majlis itu Abidin berkata ia adalah aktiviti tahunan DBKK untuk memberi peluang kepada warga bandaraya dan kakitangan DBKK dari pelbagai bangsa dan agama meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan para pemimpin negeri.

Pada majlis itu Norlidah menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada DBKK kepada 20 kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah Kinarut, Papar.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...