Wednesday, May 29, 2013

K'jaan belanja RM927.5j untuk program kebajikan di Sabah

Posted by Smookiekins On 5/29/2013 11:41:00 AM
Kerajaan membelanjakan RM927.5 juta untuk program-progarm bantuan kebajikan sejak tahun 2008 hingga 2012 di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad berkata, daripada jumlah peruntukan itu sebanyak RM208 juta adalah daripada kerajaan negeri dan RM719.5 juta adalah perbelanjaan kerajaan persekutuan.

“Setakat Mei tahun ini bilangan penerima bantuan kebajikan di seluruh negeri ialah 75,800 orang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20.2 juta sebulan.

“Jumlah ini menjadikan negeri Sabah mempunyai penerima bantuan yang paling ramai di Malaysia dan bilangan penerima bantuan di negeri ini juga menunjukkan peningkatan setiap tahun sejak tahu n 2008 sehingga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, di Wisma Muis, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Ethong Terang dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Sukardi.

Jainab berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan jabatan itu, bilangan penerima bantuan di negeri ini pada tahun 2008 ialah seramai 39,550 orang meningkat sehingga 74,200 orang pada tahun lalu.

Katanya jumlah perbelanjaan dari tahun ke tahun juga meningkat iaitu sebanyak RM94.6 juta pada tahun 2008 kepada RM241.6 juta pada tahun 2012.

“Bantuan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan adalah bersifat sementara dan biasanya apabila sesuatu kelulusan diberikan ianya adalah untuk tempoh 12 bulan atau satu tahun.

“Sebelum bantuan berakhir maka para penerima bantuan yang bercadang memohon pelanjutan akan melalui proses kaji semula bantuan.

“Pada masa kajian semula, kelayakan penerima berkenaan akan disemak dan dinilai semula untuk menentukan sama ada penerima berkenaan masih layak diberi bantuan kebajikan atau sebaliknya,” katanya.

Jainab berkata, ada segelintir masyarakat yang menganggap bantuan kebajikan itu adalah untuk selama-lamanya menyebabkan mereka tidak hadir ke pejabat kebajikan untuk proses kaji semula.

“Ini kerana para penerima beranggapan bahawa bantuan mereka akan dibayar secara berterusan selagi mereka masih hidup.

“Oleh itu saya menyeru kepada para penerima bantuan kebajikan supaya menyemak tempoh akhir bantuan mereka dan hadir ke pejabat kebajikan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu memberikan satu kad temu janji bagi memudahkan para penerima bantuan datang sendiri ke pejabat kebajikan daerah untuk menyemak sama ada mereka masih layak menerima bantuan atau sebaliknya.


Sumber: New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...