Saturday, March 9, 2013

Rakyat sokong usaha kerajaan menangani isu Lahad Datu

Posted by Smookiekins On 3/09/2013 11:55:00 AM

Rakyat harus menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan yang mementingkan keselamatan negara seperti dibuktikan oleh Kerajaan Pusat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memandang remeh aspek keselamatan dan akan mempertahankan kedaulatan negara dengan kemampuan yang ada. 

“Dalam soal kedaulatan, kita mesti mempertahankannya dengan segala kekuatan yang ada. Kekuatan dimiliki kerajaan bukan sekadar memiliki pasukan keselamatan seperti polis dan tentera.


“Kekuatan hakiki sebenarnya adalah apabila rakyat berdiri teguh di belakang kerajaan yang mempertahankan negara,” katanya.

Jika tiada keamanan

Najib berkata, rakyat pasti tidak dapat menikmati kesejahteraan, kehidupan dan pembangunan sempurna jika tidak wujud keamanan.

“Bagi mana-mana manusia, ada beberapa perkara yang menjadi asas kepada kehidupannya iaitu api, air, pekerjaan, kesihatan, pendidikan dan juga keinginan memiliki rumah yang sempurna. Tetapi ia bukan segala-galanya jika tiada keamanan dalam negara. Tanpa keamanan segala-galanya tidak mungkin kita kecapi,” katanya pada majlis pelancaran Skim Perumahan Pekerja dan Bekas Pekerja ladang Sime Darby Plantation, di sini semalam. 

  
Ada kekuatan, bersatu


Sementara itu, ketika di Sabak Bernam, Najib berkata, kerajaan yang mampu mengekalkan keamanan dan perpaduan dalam negara dapat menangkis sebarang ancaman untuk menggugat masa depan negara.

Katanya, kejadian di Lahad Datu dan Semporna adalah antara contoh bagaimana kerajaan mempertahankan keselamatan rakyat dan negara.

“Jika aman, banyak pilihan untuk rakyat tetapi jika susah (seperti di Lahad Datu dan Semporna) hanya yang melalui ancaman itu faham.

“Bagi yang tidak melalui kesukaran itu, tentu tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan terpaksa dilalui serta keperitannya. Kita masih dapat memelihara keamanan dan berdepan ancaman bila negara ada kekuatan dan bersatu.

“Yang pasti, kita kita tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya pada majlis pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7: 1Malaysia Family Care, di Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang.

Pada majlis itu, tetamu kehormat dan lebih 5,000 yang hadir bertafakur dengan membacakan al-Fatihah untuk disedekahkan kepada perwira negara yang terkorban di Sabah.


Sumber: Berita Harian

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...