Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan khabar angin
kononnya 700 penceroboh militan akan memasuki Sabah untuk mencetuskan
huru-hara di negeri itu.
Beliau berkata penyebaran maklumat
melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS), kononnya
penceroboh militan itu akan memasuki Kota Kinabalu dan Tawau, tidak
benar.
“Maklumat yang disebar dalam berita itu meminta pihak polis
berhati-hati dan meningkatkan kawalan keselamatan. Di sini saya nyatakan
bahawa maklumat itu bukan dikeluarkan polis dan ia tidak betul,”
katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin di Markas FELDA Sahabat 16, dekat sini semalam.
Jangan mudah percaya
Ismail menasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dan panik dengan maklumat tidak sah berhubung isu pencerobohan di Sabah.
“Kalau
maklumat tidak disahkan sama ada oleh polis atau tentera, jangan mudah
percaya. Keselamatan dan keamanan di kawasan pantai timur negeri itu
terkawal dan tidak perlu cemas,” katanya.
Beliau juga berkata, polis
tidak menerima laporan daripada Wisma Putra berhubung dakwaan Jamalul
Kiram III kumpulannya menawan empat rakyat Malaysia.
Pihaknya juga
tidak menerima sebarang maklumat Jamalul Kiram meminta kerajaan
Malaysia menyerahkan pengganas sebagai pertukaran dengan empat anggota
keselamatan yang kononnya berada dalam tawanan mereka.
Tiada maklumat tawanan
Ismail
diminta mengulas laporan portal Philipine Daily Inquirer yang memetik
Jamalul Kiram mendakwa pengganas menawan empat anggota polis dalam
kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, yang
turut mengorbankan enam anggota polis, malam Sabtu lalu.
Sebelum
ini, Ismail beberapa kali dilaporkan berkata, pihaknya tiada maklumat
empat anggota polis ditawan pengganas dalam kejadian itu.
Dalam
laporan portal itu, beliau turut mendakwa 10 pengganas Sulu ditawan
pasukan keselamatan Malaysia ketika polis dan tentera diserang di
Kampung Tanduo pada 1 Mac lalu.
Jamalul Kiram dilaporkan mahu
pertukaran tawanan bagi menghentikan pertempuran dan operasi pasukan
keselamatan. Anak perempuannya, Jacel Kiram turut mendakwa empat
individu, iaitu dua tentera dan masing-masing seorang anggota polis
serta orang awam ditawan pengganas.
Sumberh: Berita Harian
jgn percaya khabar angin yang belum tentu benar
ReplyDelete