Saturday, March 9, 2013

Beberapa penganalisis politik menganggap insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, sebagai cubaan mewujudkan keadaan tidak stabil di Malaysia di ambang pilihan raya umum diadakan.

Mereka berpendapat ada pihak tertentu yang menghangatkan semula isu tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah walaupun ternyata ia telah berlaku lama dulu.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata insiden pencerobohan itu boleh mempengaruhi pola pengundian rakyat Malaysia.

Bercakap kepada Bernama, beliau yang mempersoal kewajaran isu tuntutan Sabah dibangkitkan semula, berpendapat rakyat Malaysia boleh membuat penilaian sendiri melalui usaha kerajaan menangani masalah itu.

“Mungkin ada pihak yang mahu lahirkan keadaan tidak menentu supaya rakyat melihat kerajaan berada dalam situasi yang tidak stabil. Pengundi harus menilai keberkesanan pendekatan yang dilakukan kerajaan sejak awal dalam usaha mengelak berlaku sebarang tragedi walaupun akhirnya pasukan keselamatan negara perlu dihantar ke lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula berpendapat pihak tidak bertanggungjawab itu mungkin mahu melaga-lagakan Malaysia dengan Filipina tetapi beralih kepada tuntutan Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya ‘Sultan Sulu’ kerana dilihat sebagai isu yang ‘lebih mudah dan lama’.

“Mereka mahu wujudkan keadaan tidak stabil terutama di kawasan sebelah Laut Sulu. Tapi kita tak tahu adakah ia akan menyebabkan pilihan raya dilambatkan. Dan kalau dilambatkan, adakah akan menguntungkan? Kita tidak pasti.

“Tapi ia boleh sebabkan rakyat Sabah melihat kerajaan benar-benar berusaha melindungi mereka,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah majlis di Kangar pada Ahad turut melahirkan rasa hairan dengan kehadiran kumpulan itu ke Sabah semasa negara sedang hampir untuk mengadakan pilihan raya umum sedangkan tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah sudah lama dibuat.

Dalam pada itu, kedua-dua penganalisis politik itu juga sependapat pencerobohan di Lahad Datu mungkin juga bertujuan mencabar kewibawaan Najib sebagai perdana menteri terutama dalam menangani masalah berkenaan.


Sumber: New Sabah Times

1 comment:

  1. jgn biarkan kestabilan negara kita digugat

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...