Daerah Nabawan bakal menjadi pengeluar lada hitam jika tanaman yang
diperkenalkan oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjadi kenyataan pada
suatu hari nanti.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri
Makanan Sabah, Datuk Bobbey A Suan, berkata tanaman yang diperkenalkan
di daerah ini mampu menjana pendapatan lumayan kepada bakal pengusaha
tanaman lada hitam di daerah ini.
Katanya, penanaman lada hitam
yang diperkenalkan di daerah ini dan Negeri Sabah amnya satu lagi
langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengeluarkan rakyat dari
belenggu kemiskinan khususnya bagi mereka yang berminat menjadi usahawan
lada hitam.
“Ini merupakan projek pertanian yang baru, tidak
seperti lada atau cili biasa ditanam dan diusahakan petani kerana jangka
hayat tanaman lada hitam adalah lama iaitu sehingga 20 tahun dan
pendapatan mencapai puluhan dan ratusan ribu, oleh itu rakyat digalakkan
untuk mencuba dan menanamnya,” katanya pada majlis taklimat penanaman
lada hitam di Dewan Belia KBSS di sini pada Jumaat.
Kira-kira 100
peserta terdiri dari golongan belia dan orang awam menyertai taklimat
tersebut yang dikendalikan dua orang pegawai MPB iaitu Spencer Sandai
dan Elvis Madun yang menyampaikan ceramah bertajuk kaedah penanaman lada
hitam dan insentif dari lembaga lada Malaysia kepada pengusaha tanaman
berkenaan.
Bobbey turut menyarankan agar penduduk di daerah ini mengamibl kesempatan ini untuk mencuba tanaman baru ini.