Wednesday, March 6, 2013

Pencerobohan Lahad Datu: Bukan sekadar tuntutan, malah tanda protes

Posted by Smookiekins On 3/06/2013 04:29:00 PM
Pemimpin masyarakat pelbagai kaum di daerah Lahad Datu menyokong penuh apa saja usaha kerajaan menghentikan percerobohan kumpulan bersenjata yang berkubu di Kampung Tanduo sejak 12 Febuari lalu. Mereka sependapat tindakan kumpulan itu melampaui batas dan pihak keselamatan wajar mengambil tindakan berkesan bagi menghentikan kemaraan mereka serta mengukuhkan keselamatan negeri ini.

Sudah tiba masanya kebimbangan setiap rakyat Malaysia, terutama Sabah berhubung pencerobohan di Lahad Datu diakhiri dengan tindakan setegas mungkin oleh pihak keselamatan. Apa pun pilihan diambil, ketegangan ini perlu ditamatkan segera dan mereka yang biadap melanggar kedaulatan Malaysia sehingga gugurnya anggota-anggota keselamatan negara perlu sedar hakikat ini.

Ringkasnya, masa untuk rundingan dan tolak ansur sudah berakhir dalam menangani situasi kritikal ini, malah rakyat amnya turut mahukan keserabutan ini ditamatkan segera. Tidak cukup dengan kegawatan yang dihadapi, muncul pula pelbagai khabar angin termasuk kononya ada pembelot membocorkan rahsia pergerakan pihak berkuasa ke pengetahuan lawan. Khabar angin ini dengan pantas dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva 1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah. Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan sewenang-wenangnya. Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang. 

Malaysia tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka dan tindakan Malaysia mesti mengikut protokol ditetapkan. 

Pencerobohan kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dipercayai bukan semata-mata untuk menuntut Sabah tetapi lebih kepada tanda protes terhadap perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tahun lalu. 

Secara teorinya Kesultanan Sulu tidak mempunyai hak untuk menuntut Sabah kerana pada 1962 Sultan Sulu ketika itu, Sultan Ismail Kiram telah menyerahkan kuasa tuntutan kepada kerajaan Filipina. Pensyarah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman berkata pencerobohan itu juga adalah untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa dengan menganggap mereka terpinggir daripada perjanjian damai itu.

Mereka dilihat kecewa tidak termasuk dalam perjanjian berkenaan dengan menganggap Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bawah pimpinan Nur Misuari berhak turut serta. 

Mereka yang terkorban dinaikkan pangkat berkuatkuasa serta-merta. Ia diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengiktirafkan pengorbanan mereka. 

Kenaikan pangkat itu diharapkan membantu meringankan beban kewangan isteri dan anak wira negara yang sanggup mengetepikan kepentingan peribadi untuk melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kenaikan pangkat disegerakan setimpal dengan komitmen tinggi dan keberanian semua wira memburu kumpulan tersebut sehingga mengorbankan nyawa mereka.


Ditulis oleh Smookiekins (Admin) 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...